Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:06

[1] "Turunlah dan duduklah dalam debu, wahai anak dara, puteri Babel! Duduklah di tanah tanpa takhta, wahai puteri Kasdim, kerana engkau tidak akan lagi disebut lembut dan manja.

[2] Ambillah batu kisaran dan gilinglah tepung. Singkapkanlah kain kerudungmu, angkatlah sarungmu, singkapkanlah betismu, seberangilah sungai-sungai.

[3] Auratmu akan tersingkap, ya, celamu akan terlihat. Aku akan melakukan pembalasan dan tidak akan menyayangi seorang pun.

[4] Nama Penebus kami ialah Tuhan alam semesta, Yang Maha Suci, Allah Israel.

[5] Duduklah membisu dan masuklah ke dalam gelap, wahai puteri Kasdim, kerana engkau tidak akan lagi disebut permaisuri kepada kerajaan-kerajaan.

[6] Aku telah murka kepada umat-Ku, sehingga Aku menajiskan harta pusaka-Ku dan menyerahkannya ke dalam tanganmu. Tetapi engkau tidak menaruh belas kasihan kepada mereka, sehingga pada orang tua pun kautanggungkan kukmu yang sangat berat.

[7] Engkau berkata, 'Untuk selama-lamanya aku akan menjadi permaisuri,' sehingga engkau tidak memperhatikan hal-hal ini dan tidak mengingat kesudahannya.

[8] Sekarang dengarlah ini, wahai engkau yang gemar bersenang-senang, yang duduk-duduk dengan aman, yang berkata dalam hati, 'Aku, dan tidak ada yang lain. Aku tidak akan pernah hidup menjanda dan tidak akan pernah tahu bagaimana rasanya kehilangan anak.'

[9] Akan tetapi, kedua-dua hal itu akan menimpamu dalam sekejap, dalam satu hari, iaitu kehilangan anak dan menjadi balu. Kedua-dua hal itu akan sepenuhnya menimpamu, sekalipun banyak sihirmu dan sangat kuat manteramu.

[10] Engkau berasa aman dalam kejahatanmu, katamu, 'Tidak ada yang melihat aku!' Kebijaksanaanmu dan pengetahuanmu, itulah yang menyesatkan engkau, sehingga engkau berkata dalam hatimu, 'Aku, dan tidak ada yang lain.'

[11] Malapetaka akan menimpamu, engkau tidak tahu bagaimana menangkalnya dengan jampimu. Bencana akan melandamu tanpa sanggup kautolak dengan membayar tebusan. Kebinasaan akan menimpamu dengan tiba-tiba, tanpa kauketahui.

[12] Cubalah bertahan dengan manteramu dan dengan sihirmu yang banyak itu, yang telah kausibukkan sejak masa kecilmu. Siapa tahu engkau boleh mendapat faedah, siapa tahu engkau dapat menimbulkan kegentaran.

[13] Engkau melelahkan diri dengan banyak nasihat. Biarlah ahli-ahli nujum, para penilik bintang yang meramal tiap-tiap bulan, tampil dan menyelamatkan engkau daripada hal-hal yang akan menimpamu!

[14] Sesungguhnya, mereka seperti tunggul jerami. Api akan membakar mereka. Mereka tidak dapat melepaskan diri daripada kuasa nyala api. Api itu bukan bara untuk menghangatkan diri, bukan api untuk berdiang.

[15] Demikianlah jadinya bagimu orang yang telah kausibukkan itu, yang berniaga dengan engkau sejak masa kecilmu. Mereka tersesat di jalan masing-masing, tidak ada yang dapat menyelamatkan engkau."

Yesaya — Chapters