[1] Pernyataan ilahi tentang Moab. Sungguh, dalam satu malam Ar-Moab dirosakkan dan dibinasakan. Sungguh, dalam satu malam Kir-Moab dirosakkan dan dibinasakan.
[2] Dibon naik ke kuil di bukit-bukit pemujaan untuk menangis. Moab meraung-raung kerana Nebo dan kerana Medeba. Setiap kepala digondolkan, setiap janggut dicukur.
[3] Di jalan, mereka memakai kain kabung, di atas bumbung rumah dan di tempat umum semua orang meraung-raung dan jatuh menangis.
[4] Hesbon dan Eleale menjerit, suara mereka terdengar sampai ke Yahas. Oleh sebab itu orang Moab yang bersenjata berteriak-teriak, hati mereka ketakutan.
[5] Hatiku menjerit kerana Moab. Para pengungsinya lari sampai ke Zoar, ke Eglat-Selisia. Sungguh, orang mendaki tanjakan Luhit sambil menangis. Di jalan menuju ke Horonaim mereka memperdengarkan jeritan kehancuran.
[6] Sungguh, air di Nimrim menjadi kering. Rumput layu, rumput muda habis, tidak ada lagi tumbuhan hijau.
[7] Oleh sebab itu kekayaan yang diperoleh dan disimpan mereka akan diangkut mereka ke tepi Sungai Haarabim.
[8] Sungguh, jeritan melingkupi daerah Moab. Raungannya sampai ke Eglaim, raungannya mencapai Beer-Elim.
[9] Sungguh, air Dibon penuh dengan darah. Meskipun begitu, apa yang menimpa Dibon akan Kulipatgandakan lebih lagi: singa akan menyerang orang yang terselamat dari Moab dan saki-baki orang yang masih ada di bumi itu.