[1] Pernyataan ilahi tentang Damsyik. "Sesungguhnya, Damsyik akan disingkirkan sehingga tidak lagi menjadi sebuah kota. Dia akan menjadi timbunan puing.
[2] Kota-kota Aroer akan ditinggalkan dan menjadi tempat kawanan ternakan yang berbaring tanpa ada yang mengusik.
[3] Kubu akan lenyap dari Efraim, dan kerajaan dari Damsyik. Saki-baki orang Aram akan senasib dengan kemuliaan orang Israel," demikianlah firman Tuhan alam semesta.
[4] "Pada waktu itu kemuliaan Yakub akan amat berkurang, dan tubuhnya yang tegap akan menjadi kurus.
[5] Keadaannya akan sama seperti apabila penuai mengumpulkan gandum yang belum dipotong dan memetik bulir-bulirnya dengan tangannya, atau seperti apabila seseorang memungut bulir gandum di Lembah Refaim.
[6] Tetapi sisa-sisa akan ditinggalkan untuk pemetikan susulan seperti pada waktu orang menjolok buah zaitun, dua atau tiga buah tertinggal di hujung dahan teratas, empat atau lima di dahan-dahannya yang penuh buah," demikianlah firman Tuhan, Allah Israel.
[7] Pada hari itu orang akan memandang Penciptanya, dan matanya akan memperhatikan Yang Maha Suci, Allah Israel.
[8] Dia tidak akan memandang lagi mazbah-mazbah buatan tangan dan tidak akan memperhatikan lagi barang yang dibuat jari-jarinya, baik patung-patung Asyera mahupun tugu-tugu mazbah dupa.
[9] Pada waktu itu kota-kota benteng mereka akan menjadi seperti tempat yang terbengkalai di hutan dan di puncak gunung yang ditinggalkan kerana orang Israel. Semua itu akan menjadi sunyi sepi.
[10] Engkau telah melupakan Allah yang menyelamatkan engkau, dan tidak mengingat Batu Pejal yang menjadi Bentengmu. Oleh sebab itu walaupun engkau menanam tanam-tanaman yang indah dan mencangkukkan cabang-cabang asing,
[11] walaupun engkau memagarinya pada hari engkau menanamnya, dan paginya kaubuat benihmu berbunga, hasil tuaian itu akan lenyap begitu sahaja pada hari kesakitan dan penderitaan yang sangat parah.
[12] Wahai, ramainya umat banyak bangsa! Deru gemuruh mereka seperti deruan ombak laut. Wahai, riuhnya suku-suku bangsa! Mereka menderu seperti deruan air berombak besar.
[13] Suku-suku bangsa menderu seperti deru limpahan air, tetapi Tuhan mengherdik mereka sehingga mereka lari jauh-jauh. Mereka diburu seperti sekam yang diterbangkan angin di gunung-gunung, seperti debu yang diterbangkan angin puting beliung.
[14] Pada waktu senja, lihat, ada kengerian! Sebelum pagi hari, mereka sudah tiada! Itulah bahagian bagi orang yang menjarah kita dan takdir yang ditentukan bagi kalangan yang menjarah kita.