Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:11

[1] Malangnya mereka yang membuat ketetapan-ketetapan yang jahat dan para jurutulis yang menuliskan kezaliman

[2] untuk menjauhkan fakir miskin daripada mendapat keadilan serta merampas hak orang yang tertindas antara umat-Ku, supaya mereka dapat menjarah balu dan merampas harta anak yatim.

[3] Apa yang akan kamu lakukan pada hari penghukuman, pada waktu kebinasaan datang dari jauh? Kepada siapa kamu hendak berlari meminta tolong, dan di mana kamu hendak meninggalkan kekayaanmu?

[4] Tak ada yang dapat dilakukan selain meringkuk antara tahanan atau tewas antara orang yang terbunuh. Meskipun semua ini terjadi, belum juga murka-Nya surut, dan tangan-Nya masih tetap terhulur.

[5] Malangnya Asyur, rotan amarah-Ku! Tongkat di tangannya ialah murka-Ku!

[6] Aku mengutusnya kepada bangsa yang munafik. Aku memerintahkannya melawan umat yang Kumurkai, untuk melakukan penjarahan dan mengadakan perampasan, serta menginjak-injak mereka seperti lumpur di jalan.

[7] Tetapi rupanya bukan demikian niatnya dan bukan demikian rancangan hatinya. Hatinya malah berniat memusnahkan dan melenyapkan banyak bangsa.

[8] Dia berkata, "Bukankah kesemua panglimaku itu raja?

[9] Bukankah Kalno sama seperti Karkemis? Bukankah Hamat sama seperti Arpad? Bukankah Samaria sama seperti Damsyik?

[10] Sebagaimana tanganku telah menjangkau kerajaan para berhala, padahal patung-patung ukirannya melebihi patung-patung di Yerusalem dan Samaria,

[11] tidakkah demikian juga akan kulakukan terhadap Yerusalem dan berhala-berhalanya, seperti yang kulakukan terhadap Samaria dan berhala-berhalanya?

[12] Jadi, apabila Tuhan telah menyelesaikan segala pekerjaan-Nya di Gunung Sion dan di Yerusalem, Dia akan menghukum raja Asyur atas kesombongan hatinya dan atas sikapnya yang angkuh."

[13] Dia berkata: "Aku telah melakukannya dengan kekuatan tanganku dan dengan kebijaksanaanku, kerana aku memiliki pengertian. Aku memindahkan batas bangsa-bangsa dan menjarah perbendaharaan mereka. Dengan perkasa telah kuturunkan orang yang duduk di atas takhta.

[14] Tanganku menjangkau kekayaan suku-suku bangsa seperti menjangkau sarang burung. Seperti orang meraup telur-telur yang ditinggalkan induknya, demikianlah aku meraup seluruh bumi. Tidak ada yang mengepak-ngepakkan sayap, yang membuka paruh untuk mencicit-cicit."

[15] Masakan kapak memegahkan diri terhadap orang yang mengayunkannya? Masakan gergaji membesarkan diri terhadap orang yang menggerakkannya? Seolah-olah rotan menggerakkan orang yang mengangkatnya, seolah-olah tongkat mengangkat orang, yang tentu bukan kayu!

[16] Itulah sebabnya Tuhan, Allah alam semesta, akan menjadikan kurus orangnya yang tegap, dan di bawah kemuliaannya suatu kobaran akan dinyalakan, seperti api yang menyala-nyala.

[17] Cahaya Israel akan menjadi api, Allahnya Yang Maha Suci akan menjadi nyala api. Api itu akan membakar dan melahap duri dan onaknya dalam sehari sahaja.

[18] Dan Dia akan menghabiskan kelimpahan hutan Asyur dan ladangnya yang subur, jiwa ataupun jasad, sehingga ia menjadi seperti orang sakit yang terus kian lemah sampai binasa.

[19] Sisa pokok hutannya akan berjumlah sedikit sahaja sehingga seorang anak pun dapat mencatatnya.

[20] Pada waktu itu saki-baki umat Israel dan orang yang terselamat daripada kalangan keturunan kaum Yakub tidak akan bersandar lagi kepada dia yang mengalahkan mereka, tetapi dengan sungguh-sungguh akan bersandar kepada Tuhan Yang Maha Suci, Allah Israel.

[21] Ada satu saki-baki yang akan kembali, iaitu saki-baki keturunan Yakub, kepada Allah yang perkasa.

[22] Sekalipun pendudukmu, wahai Israel, sebanyak pasir di laut, hanya segelintir bakinya yang akan kembali. Kebinasaan telah ditentukan, dan daripadanya kebenaran meluap-luap.

[23] Sungguh, kesudahan yang telah ditentukan akan dilaksanakan dengan muktamad oleh Tuhan, Allah alam semesta, di seluruh bumi.

[24] Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan, Allah alam semesta, "Wahai umat-Ku yang tinggal di Sion, jangan takut kepada orang Asyur apabila mereka memukul kamu dengan rotan dan mengangkat tongkat mereka melawan kamu, seperti yang dilakukan orang Mesir dahulu.

[25] Kerana tinggal sebentar sahaja murka-Ku akan berakhir dan amarah-Ku akan ditujukan untuk menghancurkan mereka."

[26] Tuhan alam semesta, akan mendatangkan cemeti terhadap mereka, seperti pada waktu orang Midian ditumbangkan di batuan Oreb. Tongkat-Nya akan diangkat ke atas laut seperti di Mesir dahulu.

[27] Pada waktu itu, beban mereka akan disingkirkan daripada bahumu dan kuk mereka dari tengkukmu. Kuk itu akan musnah kerana kegemukanmu."

[28] Asyur telah memasuki Ayat, melalui Migron. Disimpannya barang-barangnya di Mikhmas.

[29] Mereka melintasi tempat penyeberangan dan berkata, "Geba ialah tempat kita bermalam." Rama gementar, penduduk Gibea-Saul melarikan diri.

[30] Memekiklah dengan nyaring, wahai puteri Galim! Perhatikanlah, wahai Laisha! Anatot yang malang!

[31] Warga Madmenah melarikan diri, penduduk Gebim mencari perlindungan.

[32] Hari ini juga Asyur akan berhenti di Nob. Dia akan mengacung-acungkan tinjunya kepada gunung puteri Sion, iaitu bukit Yerusalem.

[33] Sesungguhnya, Tuhan, Allah alam semesta, akan memotong dahan-dahan pokok dengan kekuatan yang dahsyat. Yang berukuran tinggi akan ditebang dan yang menjulang akan direndahkan.

[34] Dia akan menebas belukar hutan dengan kapak besi, dan Lebanon pun akan tumbang oleh Yang Maha Kuasa.

Yesaya — Chapters