Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:25

[1] Sekarang, beginilah firman Tuhan, yang menciptakan engkau, wahai Yakub, dan yang membentuk engkau, wahai Israel, "Jangan takut, kerana Aku telah menebus engkau. Aku telah memanggil engkau dengan namamu, engkau milik-Ku.

[2] Apabila engkau mengharungi air, Aku akan menyertaimu, dan engkau tidak akan dihanyutkan saat mengharungi sungai. Apabila engkau berjalan melalui api, engkau tidak akan dihanguskan, dan nyala api tidak akan membakarmu,

[3] kerana Akulah Tuhan, Allahmu, Yang Maha Suci, Allah Israel, Penyelamatmu. Aku memberikan Mesir sebagai tebusanmu, Kush dan Seba sebagai gantimu.

[4] Kerana engkau berharga dan mulia di mata-Ku, dan Aku ini mengasihi engkau, maka Aku memberikan manusia sebagai gantimu, dan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawamu.

[5] Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Aku akan membawa keturunanmu dari timur dan menghimpun engkau dari barat.

[6] Aku akan berfirman kepada utara, 'Berikanlah!' dan kepada selatan, 'Jangan tahan!' Bawalah anak-anak lelaki-Ku dari jauh dan anak-anak perempuan-Ku dari hujung bumi,

[7] iaitu semua orang yang disebutkan dengan nama-Ku, yang Kuciptakan untuk kemuliaan-Ku, yang Kubentuk, dan yang Kujadikan."

[8] Bawalah ke mari bangsa yang buta sekalipun bermata, dan yang tuli sekalipun bertelinga.

[9] Biarlah segala bangsa berhimpun bersama-sama, dan biarlah suku-suku bangsa berhimpun. Siapakah antara mereka yang dapat memberitahukan hal ini atau mengkhabarkan hal-hal yang dahulu kepada kita? Biarlah mereka mengajukan saksi-saksi supaya mereka dapat dinyatakan benar. Biarlah orang mendengarnya dan berkata, "Itu benar."

[10] "Kamulah para saksi-Ku," demikianlah firman Tuhan, "dan hamba-Ku yang telah Kupilih, supaya kamu mengenal dan mempercayai Aku serta mengerti bahawa Akulah Dia. Sebelum Aku, tidak ada tuhan terbentuk dan sesudah Aku pun tidak ada.

[11] Aku, Akulah Tuhan. Tidak ada penyelamat selain Aku.

[12] Akulah yang telah memberitahu, menyelamatkan, dan mengkhabarkan, bukan tuhan bangsa asing yang ada antara kamu. Kamulah saksi-saksi-Ku," demikianlah firman Tuhan, "dan Akulah Allah."

[13] "Ya, sejak zaman dahulu Aku tetap Dia! Tidak ada yang dapat terlepas daripada tangan-Ku. Apabila Aku bertindak, siapakah yang dapat mengubahnya?"

[14] Beginilah firman Tuhan, Penebusmu, Yang Maha Suci, Allah Israel, "Demi kamu Aku akan mengutus orang ke Babel dan membawa mereka semua sebagai pelarian, iaitu orang Kasdim di kapal-kapal yang dibanggakan mereka.

[15] Akulah Tuhan, Allahmu Yang Maha Suci, Pencipta Israel, Rajamu."

[16] Beginilah firman Tuhan, yang membuat jalan di laut dan lorong di air yang deras,

[17] yang membawa keluar rata dan kuda, bala tentera dan orang gagah – mereka rebah bersama-sama dan tidak dapat bangkit lagi, mereka mati, padam seperti sumbu –

[18] "Jangan ingat-ingatkan hal-hal yang dahulu, jangan perhatikan hal-hal yang silam.

[19] Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru, sekarang hal itu sedang muncul, tidakkah kamu mengetahuinya? Ya, Aku hendak membuat jalan di gurun dan sungai-sungai di gurun.

[20] Binatang-binatang liar akan memuliakan Aku, serigala dan burung unta, kerana Aku mengurniakan air di tanah tandus serta sungai-sungai di gurun untuk memberikan minum umat pilihan-Ku,

[21] iaitu umat yang Kubentuk bagi-Ku untuk menceritakan kemasyhuran-Ku."

[22] "Tetapi engkau tidak berseru kepada-Ku, wahai Yakub, malah engkau berasa penat menghadapi Aku, wahai Israel!

[23] Engkau tidak membawa bagi-Ku domba korban bakaran kamu dan tidak memuliakan Aku dengan korban sembelihanmu. Aku tidak membebani kamu dengan menuntut persembahan bahan makanan, dan tidak membuatmu penat dengan menuntut kemenyan.

[24] Engkau tidak membeli tebu wangi bagi-Ku dengan wangmu, dan tidak memuaskan Aku dengan lemak korban sembelihanmu. Sebaliknya, engkau membebani Aku dengan dosa-dosamu, dan membuat-Ku penat dengan kesalahan-kesalahanmu.

[25] Aku, Akulah Dia yang menghapuskan segala pelanggaranmu demi diri-Ku sendiri, dan tidak lagi mengingat dosa-dosamu.

[26] Ingatkanlah Aku! Mari kita berperkara bersama-sama! Kemukakanlah perkaramu, supaya engkau dapat dinyatakan benar.

[27] Nenek moyangmu yang pertama telah berdosa, para pengantara kamu telah menderhaka terhadap Aku.

[28] Oleh sebab itu Aku akan menista para pemimpin tempat suci, Aku akan menyerahkan Yakub untuk dimusnah dan Israel untuk dihina."

Yesaya — Chapters