Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:50

[1] Datang dekatlah wahai bangsa-bangsa untuk mendengar! Wahai suku-suku bangsa, perhatikanlah! Biarlah bumi dan segala isinya mendengar, dunia dan segala yang dihasilkannya!

[2] Tuhan murka kepada segala bangsa dan marah kepada seluruh tentera mereka. Dia mengkhususkan mereka untuk ditumpaskan dan menyerahkan mereka untuk disembelih.

[3] Orang yang terbunuh akan dicampakkan dan bangkai mereka akan menimbulkan bau busuk. Gunung-ganang akan dibanjiri oleh darah mereka.

[4] Semua penguasa langit akan hancur lumat, dan langit akan digulung seperti gulungan kitab. Seluruh cakerawala mereka akan gugur seperti daun luruh dari pokok anggur, seperti daun luruh dari pokok ara.

[5] Pedang-Ku sudah kenyang di langit. Lihat, ia turun ke atas Edom untuk menghakimi bangsa yang Kukhususkan untuk ditumpaskan.

[6] Pedang Tuhan sudah berlumuran darah, menebal oleh lemak, oleh darah anak-anak domba dan kambing-kambing jantan, oleh lemak buah pinggang domba-domba jantan, kerana Tuhan mengadakan upacara korban di Bozra dan penyembelihan besar-besaran di Tanah Edom.

[7] Lembu liar akan rebah bersama-sama korban itu, lembu jantan muda bersama dengan lembu jantan yang kuat. Negeri mereka akan mabuk darah dan debunya menebal oleh lemak,

[8] kerana Tuhan menetapkan hari pembalasan, tahun pembalasan atas permusuhan terhadap Sion.

[9] Sungai-sungai Edom akan berubah menjadi gegala dan debunya menjadi belerang. Negerinya akan menjadi gegala yang menyala-nyala,

[10] siang dan malam tidak akan dipadam, asapnya naik untuk selama-lamanya. Negeri itu akan menjadi reruntuhan turun-temurun, tidak ada yang akan melintasinya lagi untuk selama-lamanya.

[11] Burung undan dan landak akan mendudukinya, burung hantu dan burung gagak akan tinggal di dalamnya. Allah akan merentangkan tali pengukur kekacauan dan batu duga kehampaan terhadapnya.

[12] Para bangsawannya tidak punya apa-apa lagi di sana yang dapat disebut kerajaan. Semua penguasanya telah habis.

[13] Duri akan tumbuh di puri-purinya, jelatang dan rumput duri di kubu-kubunya. Negeri itu akan menjadi tempat serigala dan kediaman burung unta.

[14] Binatang-binatang gurun akan bertemu dengan anjing-anjing hutan, dan kambing liar akan berseru memanggil kawannya. Di sana pun hantu malam akan menetap dan mendapat tempat untuk berehat.

[15] Di sana burung hantu akan bersarang dan bertelur, menetaskan telur dan menghimpun anak-anaknya di bawah naungannya. Di sana pun burung-burung dendang akan berkumpul dengan pasangan masing-masing.

[16] Selidikilah kitab Tuhan dan bacalah: Satu pun daripada semua ini tidak akan ketinggalan dan seekor pun tidak akan kehilangan pasangannya, kerana Dia sendiri memerintahkan demikian dan roh-Nya sendiri menghimpun mereka.

[17] Dia telah menetapkan bahagian mereka, dan tangan-Nya membahagi-bahagikan negeri itu kepada mereka dengan tali pengukur. Mereka akan mendudukinya untuk selama-lamanya dan menetap di situ turun-temurun.

Yesaya — Chapters