Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:16

[1] Sesungguhnya, Tuhan akan membinasakan bumi dan menanduskannya. Dia akan membalikkan permukaannya dan mencerai-beraikan penduduknya.

[2] Maka nasib yang sama akan menimpa imam sebagaimana umat, Tuan sebagaimana hamba lelakinya, cik puan sebagaimana hamba perempuannya, penjual sebagaimana pembeli, peminjam sebagaimana pemberi pinjaman, penghutang sebagaimana pemiutang.

[3] Bumi akan binasa sepenuhnya dan disamun habis-habisan. Sesungguhnya, Tuhan telah menyampaikan firman ini.

[4] Bumi berkabung dan layu, dunia merana dan layu, bangsa yang termasyhur di bumi pun merana.

[5] Bumi dinajiskan oleh penduduknya, kerana mereka melanggar hukum, mengubah ketetapan, dan mengingkari perjanjian yang kekal.

[6] Itulah sebabnya bumi dimamah kutukan dan penduduknya menanggung kesalahan mereka sendiri. Itulah sebabnya penduduk bumi dihanguskan sehingga sedikit sahaja orang yang tertinggal.

[7] Air anggur berkabung, pokok anggur merana, semua orang yang bersuka hati berkeluh-kesah.

[8] Terhenti sudah kemeriahan bunyi rebana, tamat sudah kemeriahan orang yang bersuka ria, ria bunyi kecapi pun terhenti.

[9] Orang tidak lagi minum air anggur sambil bernyanyi, arak terasa pahit bagi peminumnya.

[10] Kota yang kacau itu hancur, semua rumah tertutup sehingga tidak dapat dimasuki.

[11] Orang menjerit di jalan-jalan kerana kekurangan air anggur. Segala kesukaan menjadi kesuraman, kegirangan bumi pun hilang.

[12] Di dalam kota hanya terdapat kehancuran, pintu gerbang musnah diruntuhkan.

[13] Begitulah akan terjadi di seluruh bumi, di antara bangsa, iaitu seperti pada waktu orang menjolok buah zaitun, seperti pada waktu pemetikan susulan apabila penuaian buah anggur telah berakhir.

[14] Mereka menyaringkan suara, mereka bersorak-sorai, mereka memekik dari sebelah barat demi keagungan Tuhan.

[15] Oleh sebab itu muliakanlah Tuhan di sebelah timur, muliakanlah nama Tuhan, Allah Israel, di daerah-daerah pesisir laut.

[16] Dari hujung bumi kami dengar nyanyian, "Kemuliaan bagi Yang Maha Benar." Tetapi kataku, "Merana aku! Merana aku! Malangnya aku! Orang khianat berkhianat, bahkan semakin berkhianat!"

[17] Kengerian, lubang jebak, dan perangkap menantimu, wahai penduduk bumi.

[18] Jadi, siapa berlari menghindari bunyi yang mengerikan itu akan terperosok ke dalam lubang jebak, siapa naik dari dalam lubang jebak akan terkena perangkap. Sesungguhnya, tingkap-tingkap di langit terbuka dan dasar-dasar bumi bergoncang.

[19] Bumi hancur lebur, bumi pecah belah, bumi kegoncangan.

[20] Bumi terhuyung-huyung seperti orang mabuk dan bergoyang-goyang seperti gubuk dilanda ribut. Beban segala pelanggarannya amat berat sehingga ia roboh dan tidak bangkit lagi.

[21] Pada waktu itu Tuhan akan menghukum para angkatan di langit dan raja-raja bumi, di atas bumi.

[22] Mereka akan dikumpulkan bersama-sama, seperti tahanan dikumpulkan di dalam kurungan. Mereka akan dikurung di dalam penjara dan setelah beberapa lama mereka akan dihukum.

[23] Bulan purnama akan mendapat aib dan matahari menjadi malu, kerana Tuhan alam semesta, akan bertakhta di Gunung Sion dan di Yerusalem, dan di hadapan para tua-tua-Nya dengan mulia.

Yesaya — Chapters