[1] Sesungguhnya, Tuhan, Allah alam semesta, akan menyingkirkan dari Yerusalem dan dari Yehuda baik penunjang mahupun penopang, iaitu semua bekalan makanan dan air,
[2] kesateria dan pejuang, pengadil dan nabi, penenung dan tua-tua,
[3] pemimpin pasukan lima puluh dan orang terhormat, penasihat dan tukang-tukang yang pandai, serta ahli mantera.
[4] Aku akan mengangkat para pemuda biasa menjadi pemimpin mereka, dan anak-anak yang tidak mantap akan berkuasa atas mereka.
[5] Bangsa itu akan saling menindas, seorang terhadap seorang, satu terhadap yang lain. Anak-anak akan berlaku kurang ajar terhadap orang tua, dan orang hina menentang orang mulia.
[6] Sesungguhnya, seseorang akan memegang saudaranya di rumah ayahnya dan berkata, "Engkau masih punya pakaian, jadilah pemimpin kami! Biarlah reruntuhan ini di bawah kuasamu."
[7] Tetapi pada waktu itu dia akan berseru demikian, "Aku tidak mahu menjadi penolong. Di rumahku tidak ada roti dan tidak ada pakaian. Jangan angkat aku jadi pemimpin bangsa!"
[8] Sungguh, Yerusalem telah tersandung dan Yehuda telah jatuh, kerana percakapan serta perbuatan mereka menentang Tuhan, menderhaka terhadap hadirat-Nya yang mulia.
[9] Air muka mereka menjadi saksi bagi mereka. Mereka mempamerkan dosa-dosa mereka seperti Sodom, bukannya menyembunyikannya. Malangnya orang itu, kerana mereka mendatangkan malapetaka kepada diri mereka sendiri!
[10] Katakanlah kepada orang benar bahawa keadaan mereka akan baik, kerana mereka akan menikmati hasil pekerjaan mereka.
[11] Malangnya orang fasiq! Malapetaka akan menimpa mereka, kerana perbuatan mereka akan dibalas kepada mereka sendiri.
[12] Umat-Ku ditindas oleh anak-anak, dan perempuan-perempuan berkuasa atas mereka. Wahai umat-Ku, para pemimpinmu yang membawa penyesatan, mereka mengelirukan arah tujuanmu.
[13] Tuhan mengambil tempat untuk menuntut, dan berdiri untuk menghakimi suku-suku bangsa.
[14] Tuhan datang untuk berperkara dengan para tua-tua dan para penguasa umat-Nya, "Kamulah yang memusnahkan kebun anggur itu! Rampasan daripada orang miskin ada di rumahmu.
[15] Apa maksudmu meremukkan umat-Ku dan menggilas muka orang miskin?" demikianlah firman Tuhan, Allah alam semesta.
[16] Tuhan berfirman, "Atas sebab puteri-puteri Sion sombong, berjalan dengan leher dijenjangkan sambil bermain mata, berjalan dengan langkah dibuat-buat sambil membunyikan kerincing kaki mereka,
[17] maka Tuhan akan membuat ubun-ubun puteri Sion berkudis, dan Tuhan akan menyingkapkan aurat mereka.
[18] Pada hari itu Tuhan akan menyingkirkan perhiasan-perhiasan mereka, iaitu gelang kaki, ikat kepala, kalung bulan-bulanan,
[19] anting-anting, gelang tangan, kerudung,
[20] perhiasan kepala, rantai perhiasan kaki, ikat pinggang, kotak minyak wangi, azimat,
[21] cincin, anting-anting hidung,
[22] pakaian pesta, jubah, selendang, tas tangan,
[23] cermin, pakaian linen, serban, dan cadar.
[24] Maka akan ada bau busuk sebagai ganti rempah-rempah harum, seutas tali sebagai ganti ikat pinggang, kepala gondol sebagai ganti rambut yang terbentuk rapi, kain kabung sebagai ganti jubah mahal, dan luka bakar sebagai ganti kecantikan.
[25] Kaum lelakimu akan tewas oleh pedang, dan para kesateriamu gugur dalam peperangan.
[26] Pintu-pintu gerbang Sion akan mengeluh serta berkabung dan dalam kehampaan ia akan duduk di tanah.