Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:31

[1] Pada waktu itu lantunan pujian ini akan dikumandangkan di Tanah Yehuda: "Kita mempunyai kota yang kuat. Keselamatan didirikan-Nya sebagai tembok dan benteng.

[2] Bukalah pintu-pintu gerbang, supaya masuk bangsa yang benar, yang berpegang teguh pada kesetiaan!

[3] Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu.

[4] Percayalah kepada Tuhan untuk selama-lamanya, kerana Tuhan Allah sajalah, batu pejal yang kekal.

[5] Dia menundukkan penduduk tempat tinggi, Dia merendahkan kota yang menjulang. Direndahkan-Nya kota itu sampai ke tanah, dan diratakan-Nya dengan debu.

[6] Kaki orang menginjak-injaknya – kaki orang yang tertindas, telapak kaki orang miskin.

[7] Jalan orang benar itu lurus. Engkau, Yang Maha Tulus, meratakan jalan orang benar.

[8] Juga di jalan keadilan-Mu, ya Tuhan, kami menantikan Engkau. Nama-Mu dan kemasyhuran-Mu sememangnya kesukaan hati kami.

[9] Hatiku merindukan Engkau pada malam hari, bahkan roh di dalam diriku mencari hadirat-Mu pada pagi hari. Apabila keadilan-Mu berlaku di bumi, maka penduduk dunia akan belajar tentang perbenaran.

[10] Sekalipun orang fasiq dikasihani, dia tidak belajar tentang perbenaran. Di negeri orang jujur pun dia berlaku zalim dan tidak mahu memandang keagungan Tuhan.

[11] Ya Tuhan, tangan-Mu terangkat untuk menghukum, tetapi mereka tidak melihatnya. Biarlah mereka melihat semangat-Mu yang meluap-luap bagi umat-Mu sehingga mereka malu. Ya, biarlah api bagi lawan-lawan-Mu melahap mereka.

[12] Ya Tuhan, Engkau akan menetapkan kesejahteraan bagi kami, kerana Engkau juga yang telah melakukan segala pekerjaan kami bagi kami.

[13] Ya Tuhan, Allah kami, selain Engkau tuan-tuan lain pernah menguasai kami, tetapi nama-Mu sahaja yang kami masyhurkan.

[14] Mereka telah mati, tidak akan hidup lagi, mereka telah menjadi arwah, tidak akan bangkit lagi. Demikianlah Engkau telah menghukum dan memusnahkan mereka, serta melenyapkan segala ingatan tentang mereka.

[15] Engkau telah menambah jumlah bangsa ini, ya Tuhan. Engkau telah menambah jumlah bangsa ini. Engkau dipermulia, Engkau memperluas seluruh batas negeri ini.

[16] Ya Tuhan, mereka mencari hadirat-Mu dalam kesesakan. Mereka mencurahkan doa apabila hukuman-Mu menimpa mereka.

[17] Seperti perempuan yang mengandung menggeliat kesakitan, berteriak-teriak kerana sakit apabila mendekati waktu bersalin, demikianlah tadinya keadaan kami di hadapan-Mu, ya Tuhan.

[18] Kami mengandung dan kami menggeliat kesakitan, tetapi seolah-olah kami melahirkan angin. Kami tidak membawa penyelamatan bagi bumi dan tidak melahirkan penduduk bagi dunia.

[19] Kalangan umat-Mu yang mati akan hidup kembali, mayat mereka akan bangkit kembali. Wahai kamu yang berdiam dalam debu, bangunlah dan bersorak-sorailah! Sesungguhnya, embun-Mu seperti embun terang dan bumi akan melahirkan arwah kembali.

[20] Mari bangsaku, masuklah ke dalam bilikmu dan tutuplah pintu di belakangmu. Sembunyikanlah dirimu sesaat lamanya sampai murka berlalu.

[21] Sesungguhnya, Tuhan hendak datang dari kediaman-Nya di syurga untuk menghukum penduduk bumi kerana kesalahannya. Bumi akan memperlihatkan darah yang tertumpah di atasnya, dan tidak akan lagi menutupi mayat orang yang tewas di atasnya.

Yesaya — Chapters