[1] Beginilah firman Tuhan, "Peganglah teguh keadilan dan lakukanlah yang benar, kerana penyelamatan daripada-Ku sudah hampir tiba dan kebenaran-Ku akan dinyatakan.
[2] Berbahagialah orang yang berbuat demikian dan anak manusia yang berpegang kepadanya, yang memelihara hari Sabat supaya tidak dicemari dan yang menjaga tangannya daripada setiap perbuatan jahat."
[3] Janganlah ada orang asing yang telah mengikatkan diri kepada Tuhan berkata demikian, " Tuhan pasti memisahkan aku daripada umat-Nya." Janganlah si sida berkata, "Sesungguhnya, aku ini bagaikan pokok yang kering."
[4] Beginilah firman Tuhan, "Kepada si sida yang memelihara hari-hari Sabat-Ku, yang memilih apa yang Kuperkenan, dan yang berpegang kepada perjanjian-Ku,
[5] kepada mereka akan Kukurniakan dalam bait-Ku dan dalam pagar tembok-Ku suatu tanda pengingat dan suatu nama – itu lebih baik daripada anak-anak lelaki dan perempuan. Aku akan mengurniai mereka nama abadi yang tidak akan lenyap.
[6] Dan orang asing yang mengikatkan diri kepada Tuhan untuk beribadat kepada-Nya, untuk mengasihi nama Tuhan, dan untuk menjadi hamba-Nya, iaitu semua yang memelihara hari Sabat supaya tidak dicemari dan yang berpegang kepada perjanjian-Ku,
[7] mereka akan Kubawa ke gunung-Ku yang suci dan akan Kuberikan kesukaan di dalam rumah doa-Ku. Korban-korban bakaran dan korban-korban sembelihan mereka akan diterima di atas mazbah-Ku, kerana rumah-Ku akan disebut rumah doa bagi segala bangsa."
[8] Demikianlah firman Tuhan Allah, yang mengumpulkan orang Israel yang terbuang, "Aku akan mengumpulkan orang lain lagi di samping mereka yang sudah terkumpul."
[9] Wahai semua binatang di padang, wahai semua binatang di hutan, datanglah untuk makan!
[10] Para penjaga Israel ialah orang buta, semuanya tidak berpengetahuan! Mereka semua anjing bisu, tidak boleh menyalak. Mereka bermimpi, berbaring, dan suka tidur.
[11] Anjing-anjing itu bernafsu besar, tidak tahu kenyang. Mereka itu gembala yang tidak dapat mengerti. Semuanya menyimpang ke jalan sendiri, masing-masing mengejar laba, tanpa terkecuali.
[12] Kata mereka, "Datanglah, aku akan mengambil air anggur! Kita akan minum minuman keras! Esok akan sama seperti hari ini, bahkan lebih hebat lagi."