Skip to content
Opens in a new window

[1] Inilah nasihat bonda Raja Lemuel dari Masa kepada baginda:

[2] “Engkau buah hatiku, jawapan doaku yang telah dikabulkan oleh TUHAN. Apakah yang hendak aku katakan kepadamu?

[3] Jangan habiskan tenagamu pada nafsu berahi, dan jangan bazirkan wangmu pada perempuan; mereka sudah membinasakan banyak raja.

[4] Dengarlah, hai Lemuel. Raja tidak sepatutnya minum wain, atau ketagihan arak.

[5] Apabila raja meminumnya, mereka melupakan hukum dan mengabaikan hak orang tidak berdaya.

[6] Arak minuman untuk orang yang hampir mati dan yang sengsara.

[7] Biarlah mereka meminumnya untuk melupakan kemiskinan dan kesengsaraan.

[8] Belalah orang yang tidak dapat membela diri. Lindungilah hak semua orang yang tidak berdaya.

[9] Belalah mereka dan jadilah hakim yang adil. Lindungilah hak orang yang miskin dan susah.”

[10] Isteri yang cekap susah ditemukan. Dia lebih berharga daripada permata.

[11] Suaminya mempunyai keyakinan terhadap dia dan tidak akan kekurangan apa-apa.

[12] Seumur hidupnya, dia berbuat baik kepada suaminya dan tidak berbuat jahat kepadanya.

[13] Dia rajin mengumpulkan bulu domba dan rami, lalu sibuk menenunnya.

[14] Dia mendatangkan makanan dari tempat jauh seperti yang dilakukan oleh kapal dagang.

[15] Dia bangun pagi-pagi buta untuk menyediakan makanan bagi keluarganya, dan untuk memberikan arahan kepada semua hamba perempuannya.

[16] Dia mencari sebidang tanah, lalu membelinya dan mengusahakan ladang anggur dengan pendapatannya.

[17] Dia menyiapkan diri untuk bekerja sekuat tenaga.

[18] Dia tahu bahawa segala sesuatu yang diusahakannya menguntungkan, dan dia bekerja sehingga jauh malam.

[19] Dia memintal benang dan menenun kainnya sendiri.

[20] Dia murah hati kepada orang yang miskin dan susah.

[21] Pada musim sejuk dia tidak khuatir, kerana keluarganya mempunyai baju panas.

[22] Dia membuat permaidani dan memakai pakaian daripada kain linen ungu yang halus.

[23] Suaminya pemimpin masyarakat, dan seorang yang kenamaan.

[24] Dia menjahit pakaian dan membuat ikat pinggang untuk dijual kepada pedagang.

[25] Dia berwibawa serta dihormati orang. Dia tidak khuatir akan masa hadapan.

[26] Kata-katanya bijak serta lemah lembut.

[27] Dia sentiasa rajin bekerja dan memperhatikan urusan rumah tangganya.

[28] Dia dihargai oleh anak-anaknya dan dipuji oleh suaminya.

[29] Suaminya berkata, “Ada banyak wanita yang baik, tetapi engkaulah yang terbaik antara mereka semua.”

[30] Kejelitaan menipu mata, kecantikan pun tidak kekal; tetapi seorang wanita yang menghormati TUHAN harus dipuji.

[31] Balaslah segala perbuatannya. Dia wanita yang layak dihormati semua orang.

Amsal — Chapters