[1] Hai anak-anak, dengarlah ajaran bapa kamu. Dengarlah baik-baik, supaya kamu menjadi arif.
[2] Hal yang aku ajarkan kepada kamu baik, oleh itu ingatlah ajaranku.
[3] Ketika aku masih kanak-kanak, sebagai anak lelaki tunggal,
[4] bapaku sentiasa mengajar aku. Katanya, “Ingatlah ajaranku dan jangan lupakannya. Lakukanlah perintahku supaya kamu hidup bahagia.
[5] Hendaklah kamu bijak dan cerdas. Jangan lupakan ataupun abaikan nasihatku.
[6] Jangan tinggalkan hikmat, maka hikmat akan melindungi kamu; cintailah hikmat, maka hikmat akan menjaga kamu agar kamu selamat.
[7] Perkara yang paling mustahak yang harus kamu usahakan adalah mendapat hikmat. Apa pun yang kamu kejar, yang terutama adalah mendapat pengertian.
[8] Cintailah hikmat, maka kamu akan ditinggikannya. Peluklah hikmat, maka kamu akan dimuliakannya.
[9] Hikmat akan menjadi mahkota kemegahanmu.”
[10] Hai anakku, dengarlah kataku. Perhatikanlah baik-baik nasihatku supaya panjang umurmu.
[11] Aku sudah mengajar kamu hikmat dan cara hidup yang benar.
[12] Jika kamu hidup demikian, kamu tidak akan terhalang ketika berjalan, dan kamu tidak akan tersandung ketika berlari.
[13] Hendaklah kamu sentiasa ingat akan ajaran yang telah kamu terima daripadaku. Jagalah ajaran itu baik-baik, kerana dengan ajaran itu hidupmu akan berhasil.
[14] Jangan ke tempat orang jahat pergi dan jangan contohi mereka.
[15] Jangan taruh perhatian kepada mereka. Jauhilah mereka dan jalanlah terus.
[16] Orang jahat tidak dapat tidur sebelum melakukan kejahatan. Mereka tidak mengantuk sebelum mencelakakan orang lain.
[17] Kejahatan dan keganasan seolah-olah makanan dan minuman mereka.
[18] Kehidupan orang baik bagaikan terbitnya matahari, kian lama kian cerah sehingga hari pun terang.
[19] Tetapi kehidupan orang jahat gelap seperti malam. Mereka tersandung dan jatuh, namun tidak dapat melihat apa yang menyebabkannya.
[20] Hai anakku, perhatikanlah nasihatku. Dengarlah kata-kataku.
[21] Jangan sekali-kali kamu lupakannya. Ingatlah dan simpanlah kata-kataku dalam hatimu.
[22] Sesiapa yang memahami nasihatku itu akan hidup dan menjadi sihat.
[23] Berhati-hatilah tentang apa yang kamu fikirkan, kerana pemikiranmu menentukan hidupmu.
[24] Jangan katakan apa yang tidak benar. Jangan ucapkan dusta dan kata-kata yang menyesatkan orang.
[25] Pandanglah ke hadapan dengan keyakinan yang sungguh-sungguh, dan jangan tundukkan kepalamu kerana malu.
[26] Buatlah rancanganmu dengan teliti supaya apa sahaja yang kamu lakukan akan berjaya.
[27] Jauhkanlah dirimu daripada kejahatan dan hiduplah dengan jujur. Jangan menyimpang sedikit pun dari jalan yang benar.