Skip to content
Opens in a new window

[1] Orang yang menyingkirkan diri daripada orang lain hanya mementingkan diri sendiri; mereka membantah segala pendapat yang baik daripada orang lain.

[2] Orang yang bodoh tidak peduli sama ada dia faham atau tidak. Dia hanya ingin mengatakan pendapat sendiri.

[3] Dosa dan hinaan sentiasa berdampingan; orang yang tercela akan dipermalukan.

[4] Perkataan orang boleh merupakan sumber hikmat, yang dalam seperti laut dan segar seperti air yang mengalir.

[5] Tidak baik memihak orang yang jahat, dan menindas orang yang tidak bersalah.

[6] Jika orang bodoh menimbulkan pertengkaran, mereka minta dipukul.

[7] Apabila orang bodoh bercakap mereka terjerat oleh kata-kata mereka dan membinasakan diri.

[8] Umpatan sangat enak rasanya; orang suka menelannya.

[9] Orang malas sama jahatnya dengan orang yang suka merosak.

[10] TUHAN seperti menara yang kukuh; ke sanalah orang jujur pergi dan mendapat perlindungan.

[11] Tetapi orang kaya menyangka bahawa harta yang melindungi mereka seperti tembok tinggi dan kuat di sekeliling kota.

[12] Orang yang rendah hati akan dihormati; orang sombong pasti akan binasa.

[13] Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh tetapi mempermalu diri sendiri.

[14] Kemahuan untuk hidup dapat menanggung derita penyakit tetapi jika lenyap kemahuan itu, hilanglah segala harapan.

[15] Orang bijak sentiasa sedia dan suka belajar.

[16] Hadiah membuka jalan sehingga mudah untuk menemui orang besar.

[17] Orang yang pertama berucap di mahkamah selalu nampaknya benar, tetapi kenyataannya akan diuji setelah perkaranya diperiksa.

[18] Jika terjadi pertikaian di mahkamah antara dua orang yang berkuasa, buanglah undi untuk menyelesaikannya.

[19] Tolong-menolong menguatkan persaudaraan seperti tembok kota yang kukuh, tetapi pertengkaran memutuskan perhubungan.

[20] Kata-kata yang diucapkan membawa kesan yang harus dirasakan.

[21] Kata-kata yang diucapkan mempunyai kuasa untuk menyelamatkan ataupun membinasakan. Orang harus merasakan kesan kata-kata mereka.

[22] Orang yang mendapat isteri, mendapat sesuatu yang baik. Hal ini bermakna TUHAN memperkenan orang itu.

[23] Orang miskin memohon dengan sopan, tetapi orang kaya menjawab dengan kasar.

[24] Ada sahabat yang tidak setia, ada pula yang lebih karib daripada saudara kandung.

Amsal — Chapters