[1] Orang yang mencintai pengetahuan suka ditegur ajar. Orang yang tidak mahu ditegur ajar itu bodoh.
[2] TUHAN berkenan kepada orang baik, tetapi Dia menghukum orang yang merancang kejahatan.
[3] Orang tidak akan mendapat keselamatan daripada kejahatan, tetapi orang jujur tetap teguh.
[4] Isteri yang baik menjadi kebanggaan dan kebahagiaan suaminya, tetapi isteri yang memalukan suaminya bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput.
[5] Orang jujur memikirkan hal-hal yang baik, tetapi nasihat orang jahat penuh tipu muslihat.
[6] Kata-kata orang jahat dapat membunuh, tetapi kata-kata orang jujur menyelamatkan.
[7] Orang jahat akan binasa tanpa meninggalkan keturunan, tetapi orang baik sentiasa mempunyai keturunan.
[8] Orang bijak menerima penghargaan; orang bodoh menerima penghinaan.
[9] Lebih baik menjadi orang biasa yang mempunyai mata pencarian, daripada berlagak sebagai orang besar tetapi kelaparan.
[10] Orang baik memelihara ternakan mereka, tetapi orang jahat menyeksa ternakan mereka.
[11] Peladang yang rajin mendapat banyak makanan, tetapi orang yang mengejar hal yang sia-sia itu bodoh.
[12] Orang jahat menghendaki kejahatan semata-mata, tetapi orang baik bagaikan pokok yang teguh dan berbuah.
[13] Orang jahat dijerat oleh kata-kata mereka sendiri, tetapi orang baik menyelamatkan diri daripada kesukaran.
[14] Balasan seseorang bergantung kepada perkataan dan perbuatannya sendiri; dia akan mendapat balasan yang setimpal.
[15] Orang bodoh selalu menganggap diri mereka betul, sedangkan orang bijak mendengarkan nasihat.
[16] Orang bodoh lekas marah apabila tersinggung, tetapi orang bijak tidak menghiraukan nistaan.
[17] Bercakap benar menegakkan keadilan, sedangkan membohong mengakibatkan ketidakadilan.
[18] Kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang, tetapi ucapan yang bijak bagaikan ubat yang menyembuhkan.
[19] Dusta tidak tahan lama, tetapi kebenaran kekal selama-lamanya.
[20] Orang yang merancang kejahatan penuh dengan tipu daya; orang yang mengamalkan kebajikan akan berbahagia.
[21] Orang baik tidak akan ditimpa bencana, tetapi orang jahat selalu ditimpa kesusahan.
[22] TUHAN membenci pendusta, tetapi Dia berkenan kepada orang yang menepati janji.
[23] Orang bijak tidak menunjukkan pengetahuan mereka, tetapi orang bodoh mengiklankan kebodohan mereka.
[24] Kerajinan menjadikan orang berkuasa, tetapi kemalasan menyebabkan orang menjadi hamba.
[25] Kekhuatiran menyebabkan orang berdukacita, tetapi kata-kata yang baik menghiburkan hati.
[26] Orang baik memimpin sahabatnya, sedangkan orang jahat menyesatkan orang.
[27] Orang malas tidak sekali-kali akan mencapai hasrat mereka, tetapi orang rajin memperoleh harta yang banyak.
[28] Orang yang mengikut jalan yang benar akan hidup bahagia; orang yang mengikut jalan yang jahat menuju maut.