[1] Minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk.
[2] Takut akan raja yang murka seperti takut akan singa yang mengaum. Orang yang membangkitkan kemurkaan raja hanya membinasakan diri sendiri.
[3] Hanya orang bodoh suka bertengkar; sikap yang terpuji adalah menjauhi pertengkaran.
[4] Petani yang malas mengerjakan tanah pada musimnya tidak akan mendapat hasil pada musim menuai.
[5] Fikiran manusia bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.
[6] Banyak orang mengaku diri mereka taat setia, tetapi yang betul-betul setia, sukar ditemukan.
[7] Berbahagialah anak-anak yang mempunyai bapa yang jujur dan adil.
[8] Apabila raja mengadili orang, raja dapat melihat apa yang jahat.
[9] Dapatkah orang berkata dengan sungguh-sungguh bahawa hati nurani mereka bersih, dan dosa mereka sudah dihapuskan?
[10] TUHAN membenci orang yang menipu dengan timbangan dan ukuran yang tidak tepat.
[11] Perbuatan seorang anak dapat menunjukkan kelakuannya; kamu akan tahu sama ada dia baik atau jahat.
[12] TUHAN sudah memberi kita mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar.
[13] Orang yang suka tidur akan jatuh miskin. Orang yang rajin bekerja mendapat banyak makanan.
[14] Pembeli sentiasa bersungut bahawa harga barang mahal, tetapi setelah membeli barang itu mereka bercakap besar tentang harga murah yang dibayar mereka.
[15] Kata-kata bijak lebih berharga daripada emas atau batu permata.
[16] Bodohlah orang yang berjanji menanggung hutang orang lain; miliknya harus diambil sebagai jaminan janjinya.
[17] Hasil daripada penipuan mula-mula lazat rasanya, tetapi kemudian terasa seperti pasir belaka.
[18] Mintalah nasihat supaya berjaya. Jangan pergi berperang tanpa membuat rancangan.
[19] Orang yang mengumpat tidak sekali-kali dapat menyimpan rahsia. Jangan bergaul dengan orang yang suka merepek.
[20] Sesiapa yang mengutuk ibu bapanya, hidupnya akan lenyap seperti pelita yang padam di tempat gelap.
[21] Kekayaan yang mudah diperoleh, tidak membawa berkat.
[22] Jangan balas dendam; percayalah kepada TUHAN dan Dia akan menolong kamu.
[23] Neraca dan timbangan yang tidak tepat, dibenci oleh TUHAN.
[24] TUHAN telah menentukan jalan hidup manusia; itulah sebabnya manusia tidak dapat memahami jalan hidup mereka.
[25] Fikirlah baik-baik sebelum menjanjikan korban kepada Allah supaya kamu tidak menyesal.
[26] Raja yang bijak mengetahui siapa yang jahat; raja akan menghukum mereka tanpa belas kasihan.
[27] TUHAN memberi kita fikiran dan hati nurani; oleh itu kita tidak dapat berdusta kepada diri kita sendiri.
[28] Raja hanya dapat memerintah selama pemerintahannya jujur, tulus, dan adil.
[29] Orang muda dikagumi kerana kekuatan, dan orang tua dihormati kerana uban.
[30] Kadang kala pengalaman pahit menghapuskan kejahatan dan membersihkan hati manusia.