Skip to content
Opens in a new window

[1] Amsal-amsal Raja Salomo raja Israel, iaitu putera Raja Daud.

[2] Amsal yang berikut akan menolong kamu mengenal hikmat dan nasihat yang baik, serta memahami ungkapan yang dalam maknanya.

[3] Amsal ini mengajar kamu hidup dengan bijaksana, jujur, adil, dan tidak berat sebelah.

[4] Amsal ini dapat mengajar orang yang tidak berpengalaman supaya berfikiran tajam, dan mengajar orang muda menjadi pandai dan bijaksana.

[5] Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar.

[6] Dengan demikian mereka dapat memahami makna yang tersirat dalam amsal, kata-kata, dan soalan yang dikemukakan oleh orang bijaksana.

[7] Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar.

[8] Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu.

[9] Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu.

[10] Anakku, jika kamu digoda oleh orang berdosa, jangan ikut pujukan mereka.

[11] Seandainya mereka berkata, “Marilah kita mencari orang dan membunuh mereka. Marilah kita menyerang orang yang tidak bersalah sekadar untuk bersuka-suka!

[12] Sekarang mereka hidup dan sihat, tetapi mereka akan mati apabila kita sudah mengerjakan mereka.

[13] Kita akan mendapat dan mengambil segala jenis kekayaan mereka, lalu memenuhi rumah kita dengan barang rampasan!

[14] Marilah ikut kami, kita akan berkongsi hasil curian kita!”

[15] Anakku, jangan ikut orang yang demikian. Jauhkan dirimu daripada mereka.

[16] Mereka tidak sabar lagi untuk melakukan kejahatan. Mereka ingin cepat-cepat membunuh orang.

[17] Tiada gunanya memasang jerat di depan mata burung yang hendak ditangkap,

[18] tetapi orang jahat seperti itu memasang perangkap bagi diri mereka - perangkap yang akan membinasakan mereka.

[19] Orang yang mencari nafkah dengan keganasan akan membayarnya dengan nyawanya sendiri.

[20] Dengarlah! Hikmat sedang berseru di jalan raya dan di pasar,

[21] memanggil orang dengan suara yang lantang di pintu gerbang dan di mana-mana sahaja orang berkumpul:

[22] “Hai orang bodoh! Berapa lama lagi kamu hendak menjadi bodoh? Berapa lama lagi kamu akan mengolok-olokkan pengetahuan? Bilakah kamu mahu belajar?

[23] Dengarlah apabila aku menegur ajar kamu. Aku akan menasihatkan kamu, dan membahagikan pengetahuanku kepada kamu.

[24] Aku memanggil dan menjemput kamu datang tetapi kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mempedulikan aku.

[25] Kamu mengabaikan semua nasihatku dan tidak mahu menerima tegur ajarku.

[26] Oleh itu, apabila kamu susah kelak, aku akan mentertawakan kamu. Aku akan mengejek kamu apabila kamu ditimpa kengerian.

[27] Kengerian itu akan datang seperti angin ribut yang membawa bencana, dan kamu akan kesakitan dan menderita.

[28] Pada waktu itu kamu akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Kamu akan mencari aku di merata-rata tempat, tetapi tidak akan menjumpai aku.

[29] Kamu membenci pengetahuan dan tidak mahu taat kepada TUHAN.

[30] Kamu tidak pernah mahu menerima nasihatku atau mempedulikan tegur ajarku.

[31] Oleh itu, kamu akan menerima nasib yang setimpal dengan kelakuan kamu, dan kamu akan merasai akibat perbuatan kamu.

[32] Orang yang kurang pengalaman, mati kerana menolak hikmat. Orang bodoh binasa kerana mengabaikan hikmat.

[33] Tetapi sesiapa yang mendengarkan aku akan selamat. Dia hidup dengan aman dan tidak perlu takut.”

Amsal — Chapters