Skip to content
Opens in a new window

[1] Hai anakku, terimalah apa yang aku ajarkan dan jangan lupa akan perintahku.

[2] Dengarlah apa yang bijaksana dan cubalah memahaminya.

[3] Ya, mohonlah dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat pengetahuan dan mintalah pengertian.

[4] Carilah perkara itu seperti mencari perak dan harta terpendam.

[5] Barulah kamu akan tahu maknanya takut kepada TUHAN, dan kamu akan mendapat pengetahuan tentang Allah.

[6] TUHANlah yang memberikan hikmat. Pengetahuan dan pengertian berasal daripada-Nya.

[7] Dia memberikan pertolongan dan perlindungan kepada orang yang tulus hati dan jujur.

[8] Dia melindungi orang yang berlaku adil, dan mengawal orang yang setia kepada-Nya.

[9] Jika kamu mendengar nasihatku, kamu akan tahu apa yang benar, adil, dan tidak berat sebelah. Kamu akan tahu apa yang harus kamu buat.

[10] Kamu akan menjadi bijaksana, dan pengetahuanmu akan menyukakan hatimu.

[11] Pengertian dan kecerdasanmu akan melindungimu,

[12] serta mencegah kamu daripada melakukan perbuatan yang salah, dan juga menjauhkan dirimu daripada orang yang bercakap bohong.

[13] Orang seperti itu telah meninggalkan cara hidup yang baik, dan mengambil jalan gelap yang penuh dengan dosa.

[14] Mereka mendapat keseronokan daripada perbuatan yang salah dan jahat.

[15] Mereka tidak dapat diharap dan tidak dapat dipercayai.

[16] Kamu akan dapat menolak godaan perempuan jalang yang berusaha untuk memikat kamu dengan kata-kata manis.

[17] Perempuan itu tidak setia kepada suaminya, dan telah melupakan janjinya kepada Allah.

[18] Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke arah maut. Pergi ke sana sama seperti pergi ke dunia orang mati.

[19] Orang yang melawat perempuan itu tidak pernah kembali ke jalan yang menuju kehidupan.

[20] Oleh itu, haruslah kamu ikut teladan orang baik, dan hendaklah kamu hidup menurut kehendak Allah.

[21] Orang yang hidup menurut kehendak Allah, iaitu orang yang tulus hati akan hidup di negeri yang dijanjikan Allah.

[22] Tetapi orang jahat dan berdosa akan dilempar keluar dari negeri itu oleh Allah, seperti rumput dicabut dari tanah.

Amsal — Chapters