Skip to content
Opens in a new window

[1] Nama baik lebih baik daripada harta yang banyak; dikasihi orang lebih baik daripada diberikan perak dan emas.

[2] Orang kaya dan orang miskin mempunyai satu persamaan: TUHAN mencipta kedua-duanya.

[3] Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.

[4] Orang yang hormat dan takut kepada TUHAN, serta merendahkan diri akan mendapat kekayaan, kehormatan, dan usia panjang.

[5] Orang yang menyayangi nyawanya harus menjauhkan diri daripada perangkap dan jerat pada jalan yang ditempuh oleh orang jahat.

[6] Ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian.

[7] Orang miskin dikuasai orang kaya. Orang yang minta pinjam dikuasai orang yang memberi pinjam.

[8] Orang yang menabur ketidakadilan akan menuai bencana, dan kuasanya untuk menindas orang lain akan berakhir.

[9] Orang yang murah hati dan membahagikan makanan kepada orang miskin akan diberkati TUHAN.

[10] Usirlah orang yang suka menghina, barulah tiada pertengkaran, perbantahan, dan caci maki.

[11] Orang yang tulus hatinya dan halus pertuturannya akan menjadi sahabat raja.

[12] TUHAN memastikan bahawa kebenaran terpelihara dengan membongkar kebohongan pendusta.

[13] Orang malas tidak suka keluar dari rumah. Dia berkata bahawa dia akan diterkam singa jika dia keluar.

[14] Rayuan perempuan jalang merupakan lubang yang dalam: orang yang dimurkai TUHAN akan jatuh ke dalamnya.

[15] Kanak-kanak biasa membuat perkara yang bukan-bukan, tetapi rotan dapat mengajar mereka mengubah kelakuan.

[16] Sesiapa yang menindas orang miskin untuk menjadi kaya atau memberikan hadiah kepada orang kaya, pada akhirnya akan melarat.

[17] Dengarlah, aku akan mengajar kamu pepatah orang bijak. Kajilah ajaran mereka.

[18] Berbahagialah orang yang dapat menghafaz ajaran itu dan mengutipnya apabila diperlukan.

[19] Aku hendak kamu percaya kepada TUHAN, itulah sebabnya aku mengajarkannya kepada kamu sekarang.

[20] Aku telah menuliskan tiga puluh pepatah yang mengandungi pengetahuan dan nasihat baik,

[21] yang akan mengajar kamu apa yang sungguh-sungguh benar. Nanti, jika kamu ditanya, kamu dapat memberikan jawapan yang tepat.

[22] Jangan perdaya orang miskin kerana mereka miskin, dan jangan tipu mereka di mahkamah.

[23] TUHAN akan membela mereka, dan mencabut nyawa orang yang menindas mereka.

[24] Jangan bersahabat dengan orang yang suka marah dan cepat naik darah.

[25] Jangan-jangan kamu ikut kelakuan mereka, lalu tidak dapat mengubah kebiasaan itu.

[26] Jangan berjanji untuk menanggung hutang orang lain.

[27] Jika kamu tidak dapat menjelaskan hutangnya, katil kamu pun akan dirampas.

[28] Jangan pindahkan batas tanah yang ditetapkan oleh nenek moyang kamu.

[29] Orang yang cekap bekerja akan bertugas untuk raja-raja dan bukan untuk orang biasa.

Amsal — Chapters