Skip to content
Opens in a new window

[1] Berikut ini kata-kata Si Pemikir, raja di Yerusalem. Baginda putera Raja Daud.

[2] Semuanya sia-sia dan tidak berguna, kata Si Pemikir. Hidup itu sia-sia, semuanya tidak bererti.

[3] Orang bekerja dan membanting tulang seumur hidup, tetapi apakah hasil yang dapat dibanggakan?

[4] Keturunan yang satu datang dan keturunan yang lain pergi, tetapi dunia ini tetap sama juga.

[5] Matahari terbit dan matahari terbenam, lalu tergesa-gesa kembali ke tempat terbitnya.

[6] Angin bertiup ke selatan dan ke utara, berpusing-pusing lalu kembali semula.

[7] Tiap-tiap sungai mengalir ke laut, namun laut tidak penuh. Airnya kembali ke hulu sungai, lalu mulai mengalir lagi.

[8] Semuanya menjemukan, tidak terkata. Mata tidak puas-puas melihat, telinga tidak puas-puas mendengar.

[9] Hal yang telah berlaku dahulu, akan berulang lagi. Apa yang telah dilakukan dahulu, akan dilakukan lagi. Tiada sesuatu yang baru di seluruh dunia ini.

[10] “Lihatlah,” kata orang, “yang ini baru!” Tetapi semua itu telah berlaku lama sebelum kita dilahirkan.

[11] Tiada sesiapa pun ingat akan kejadian pada masa lampau; kejadian sekarang dan yang akan datang tidak diingat oleh sesiapa pun pada masa hadapan.

[12] Aku, Si Pemikir, telah menjadi raja Israel di Yerusalem.

[13] Aku bertekad untuk mengkaji dan mempelajari dengan bijaksana segala yang dilakukan di dunia ini. Hidup yang ditentukan oleh Allah bagi manusia di dunia sungguh menyedihkan.

[14] Aku telah melihat segala perbuatan orang di dunia, dan sesungguhnya semua itu sia-sia seperti mengejar angin.

[15] Yang bengkok tidak dapat diluruskan; yang tidak wujud tidak dapat dihitung.

[16] Aku berkata dalam hati, “Aku telah menjadi agung, lebih bijak daripada sesiapa pun yang pernah memerintah Yerusalem sebelum zamanku. Aku tahu akan hikmat dan pengetahuan yang sebenar.”

[17] Aku bertekad untuk mengetahui perbezaan antara pengetahuan dan kebodohan, antara hikmat dan kebebalan. Tetapi ternyata aku ini seperti mengejar angin sahaja.

[18] Semakin banyak hikmat, semakin banyak kekhuatiran. Semakin banyak pengetahuan, semakin banyak penderitaan.

Pengkhutbah — Chapters