[1] Nama baik lebih harum daripada minyak wangi yang mahal, dan hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran.
[2] Lebih baik melawat keluarga yang berkabung daripada keluarga yang berpesta, kerana orang hidup perlu diingatkan bahawa kematian sentiasa menunggu kita semua.
[3] Kesedihan lebih baik daripada ketawa; biar wajah murung asal hati lega.
[4] Orang bodoh sentiasa memikirkan kesenangan; orang arif memikirkan kematian.
[5] Lebih baik ditegur oleh orang bijak daripada dipuji oleh orang bodoh.
[6] Ketawa orang bodoh tidak bererti, seperti bunyi duri dibakar api.
[7] Apabila orang bijak menipu, mereka bodoh. Jika orang menerima rasuah, mereka merosakkan akhlak.
[8] Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya. Kesabaran lebih baik daripada kesombongan.
[9] Jangan lekas marah; hanya orang bodoh menyimpan dendam.
[10] Jangan sekali-kali bertanya, “Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?” Pertanyaan itu bodoh!
[11] Tiap-tiap orang yang hidup haruslah mempunyai hikmat; hal itu sama baiknya dengan menerima warisan,
[12] dan memberikan jaminan seperti wang tunai. Berbahagialah orang yang mengetahui bahawa hikmat melindungi hidup orang yang memilikinya.
[13] Renungkanlah hal yang telah dilakukan oleh Allah. Bolehkah sesiapa meluruskan apa yang telah dibengkokkan oleh Allah?
[14] Apabila kamu senang, bersukacitalah; dan apabila kamu susah, ingatlah bahawa kesenangan dan kesusahan, kedua-duanya datang daripada Allah. Manusia tidak tahu apa yang akan berlaku selanjutnya.
[15] Sungguhpun hidupku sia-sia, aku telah nampak segala-galanya. Ada kalanya orang yang baik mati walaupun mereka baik. Ada kalanya orang yang jahat panjang umur walaupun mereka jahat.
[16] Oleh itu janganlah terlalu baik atau terlalu bijak; mengapa membinasakan diri sendiri?
[17] Tetapi janganlah terlalu jahat atau terlalu bodoh; mengapa mati sebelum waktunya?
[18] Hindarilah kedua-dua hal yang keterlaluan itu. Jika kita menghormati Allah, tentu kita akan berjaya.
[19] Hikmat menjadikan pemiliknya lebih perkasa daripada sepuluh orang penguasa di sebuah kota.
[20] Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik dan tidak pernah melakukan kesalahan.
[21] Jangan pedulikan segala kata orang. Mungkin kamu mendengar hambamu mengutuk kamu,
[22] dan kamu tahu bahawa kamu sendiri pun kerap kali mengutuk orang lain.
[23] Aku menggunakan hikmat untuk menguji segala hal itu. Aku bertekad untuk memperoleh hikmat, tetapi tidak dapat mencapainya.
[24] Bagaimanakah seseorang dapat mengetahui makna hidup? Hal itu terlalu dalam dan terlalu susah untuk difahami.
[25] Aku tekun belajar dan mencari pengetahuan supaya mendapat hikmat dan jawapan bagi pertanyaanku. Aku mencuba memahami bahawa kebodohan itu kejahatan dan kebebalan itu kegilaan.
[26] Aku mendapati hal ini lebih pahit daripada maut: Seorang wanita yang menggunakan cinta sebagai jala atau perangkap untuk menangkap mangsa; pelukannya seperti belenggu yang mengikat dengan erat. Orang yang melakukan kehendak Allah dapat melepaskan diri, tetapi orang berdosa akan ditangkapnya.
[27] Lihat, kata Si Pemikir: Aku mengetahui hal itu sedikit demi sedikit sedang aku mencari jawapannya.
[28] Aku telah mencari jawapan lain juga, tetapi tidak berhasil. Antara seribu orang, aku menemui seorang lelaki yang dapat aku hormati, tetapi antara mereka tiada seorang wanita yang dapat aku hormati.
[29] Hanya inilah yang telah kupelajari: Allah telah menjadikan kita jujur, tetapi kita sendiri yang berputar belit.