[1] Hanya seorang bijak dapat memahami makna segala perkara. Hikmat menyebabkan dia tersenyum dan wajahnya berseri.
[2] Taatilah perintah raja, dan jangan terburu-buru berjanji kepada Allah.
[3] Raja dapat berbuat sesuka hati; oleh itu, jauhilah raja. Jangan berada di tempat yang berbahaya itu.
[4] Raja bertindak dengan penuh kuasa, dan tiada sesiapa pun dapat mencabar perbuatan raja.
[5] Kamu selamat selama kamu mentaati perintah raja, dan orang yang bijak tahu masa dan cara mentaatinya.
[6] Bagi tiap-tiap perkara ada masa dan cara membuatnya, cuma kita tahu sedikit sahaja.
[7] Kita semua tidak tahu hal yang akan berlaku pada masa hadapan, dan tiada sesiapa yang dapat memberitahu kita.
[8] Tiada seorang pun dapat mencegah atau menunda kematiannya. Kematian merupakan peperangan yang tidak dapat dielakkan walaupun dengan tipu daya.
[9] Aku melihat segala perkara ini ketika aku memikirkan perkara-perkara yang berlaku di dunia. Sesetengah orang mempunyai kuasa, sedangkan yang lain terpaksa menderita di bawah kekuasaan mereka.
[10] Pernah aku lihat orang jahat mati dan dikuburkan. Tetapi waktu pulang dari perkuburan, orang memuji orang yang sudah mati itu, di kota tempat mereka melakukan kejahatan. Semua itu sia-sia!
[11] Orang sangat suka melakukan kejahatan kerana orang yang melakukannya tidak segera dihukum.
[12] Walaupun orang berdosa melakukan seratus kejahatan, mereka terus hidup. Memang aku tahu orang berkata, “Orang yang taat kepada Allah akan hidup senang,
[13] tetapi orang jahat akan hidup susah. Hidup orang jahat cepat berlalu seperti bayang-bayang, dan mereka akan mati semasa muda kerana tidak taat kepada Allah.”
[14] Tetapi hal itu tidak betul. Lihatlah apa yang terjadi di dunia; kadang kala orang baik menerima hukuman yang sepatutnya diterima oleh orang jahat, sedangkan orang jahat menerima ganjaran yang sepatutnya diterima oleh orang baik. Hal itu pun sia-sia.
[15] Oleh itu, aku yakin bahawa orang harus bergembira. Hanyalah makan, minum, dan bersuka-ria yang dapat dinikmati mereka. Setidak-tidaknya mereka dapat berbuat demikian semasa bersusah payah sepanjang hayat yang diberikan Allah kepada mereka di dunia ini.
[16] Apabila aku mencuba mendapat hikmat dan memahami segala yang berlaku di dunia ini, aku sedar bahawa walaupun kita berjaga siang dan malam,
[17] kita tidak memahami perbuatan Allah. Bagaimanapun kita mencuba, kita tidak akan memahaminya. Orang yang bijaksana mengaku bahawa mereka faham, tetapi sebenarnya tidak.