[1] Aku nampak pula segala ketidakadilan yang berlaku di dunia ini. Orang yang tertindas menangis dan tidak seorang pun menolong mereka. Tidak seorang pun berani menolong mereka kerana para penindas berkuasa.
[2] Alangkah bahagianya orang yang sudah mati; keadaan mereka lebih baik daripada orang yang masih hidup.
[3] Yang lebih bahagia lagi ialah orang yang belum dilahirkan, yang belum nampak ketidakadilan yang berlaku di dunia ini.
[4] Aku faham juga mengapa orang bekerja keras supaya berjaya; mereka iri hati terhadap jiran mereka. Tetapi itu sia-sia sahaja. Keadaan mereka seperti orang yang mengejar angin.
[5] Kata mereka, hanya orang bodoh berpangku tangan dan mati kelaparan.
[6] Mungkin itu benar, tetapi lebih baik mempunyai sedikit disertai fikiran tenang, daripada sentiasa bekerja keras dengan dua belah tangan dan mengejar angin.
[7] Ada lagi perkara yang sia-sia dalam hidup ini.
[8] Ada orang yang hidup seorang diri tanpa anak ataupun saudara. Namun, dia tidak berhenti-henti bekerja. Dia tidak puas hati dengan harta yang dimilikinya. Bagi siapakah dia membanting tulang serta menolak segala kesenangan? Bukankah itu sia-sia, dan satu cara hidup yang menyedihkan?
[9] Berdua lebih baik daripada seorang diri, kerana bersama-sama mereka dapat bekerja dan hasilnya lebih baik.
[10] Jika seorang jatuh, yang seorang lagi dapat menolongnya. Tetapi jika orang itu sendirian, lalu jatuh, malanglah dia kerana tiada sesiapa yang menolongnya.
[11] Jika dua orang tidur bersama-sama mereka dapat saling menghangatkan badan, tetapi bagaimanakah seorang menjadi hangat jika dia sendirian?
[12] Orang yang sendirian mudah dikalahkan, tetapi dua orang dapat menentang serangan. Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan.
[13] Seorang miskin mungkin menjadi raja; seorang banduan mungkin naik takhta. Tetapi jika pada usia lanjut, raja itu terlalu bodoh sehingga tidak mahu menerima nasihat, maka nasibnya lebih buruk daripada seorang pemuda yang miskin tetapi cerdas.
[15] Aku memikirkan semua orang di dunia ini, dan aku sedar bahawa antara mereka tentu ada seorang pemuda yang akan menggantikan raja.
[16] Bilangan rakyat yang diperintah oleh seorang raja mungkin tidak terhitung, tetapi apabila raja mangkat, tidak seorang pun akan bersyukur atas jasanya. Itu pun sia-sia, seperti usaha mengejar angin.
[17] Berhati-hatilah apabila pergi ke Rumah TUHAN. Lebih baik ke sana untuk belajar, daripada mempersembahkan korban seperti orang bodoh yang tidak tahu membezakan apa yang benar dengan apa yang salah.