[1] Koyakkanlah langit dan turunlah, ya TUHAN! Gunung akan melihat Engkau, lalu gunung bergoncang kerana ketakutan.
[2] Gunung akan bergegar seperti air yang mendidih di atas api. Marilah tunjukkan kuasa-Mu kepada musuh-musuh-Mu, dan buatlah bangsa-bangsa gementar di hadapan-Mu.
[3] Dahulu Engkau datang melakukan perkara-perkara yang mengerikan, yang tidak kami sangka. Engkau turun, dan gunung-gunung bergoncang kerana ketakutan.
[4] Belum pernah sesiapa melihat ataupun mendengar tentang Allah seperti Engkau, yang melakukan perkara-perkara seperti itu bagi orang yang berharap kepada-Nya.
[5] Engkau menyambut orang jujur, yang hidup menurut kehendak-Mu. Engkau murka terhadap kami, tetapi kami tetap berdosa. Sekalipun Engkau sangat murka, kami terus-menerus berbuat salah sejak dahulu.
[6] Kami semua telah berdosa; bahkan perbuatan kami yang terbaik pun kotor dan najis. Kerana dosa kami, kami akan lenyap seperti daun layu diterbangkan angin.
[7] Tiada sesiapa pun berdoa kepada-Mu. Tiada sesiapa pun menghampiri Engkau untuk minta pertolongan. Engkau telah menyembunyikan diri daripada kami, dan membiarkan kami binasa kerana dosa kami.
[8] Tetapi Engkaulah Bapa kami, ya TUHAN. Kami ini seperti tanah liat, dan Engkau seperti tukang periuk. Engkaulah yang menciptakan kami.
[9] Oleh itu janganlah terlalu murka terhadap kami, ataupun mengingat dosa kami selama-lamanya. Kami umat-Mu, kasihanilah kami.
[10] Kota-kota-Mu yang suci menjadi seperti padang gurun. Yerusalem telah menjadi runtuhan yang lengang
[11] dan Rumah TUHAN, rumah yang suci dan indah, tempat nenek moyang kami memuji Engkau dahulu, telah dimusnahkan api. Semua tempat yang kami sukai telah menjadi runtuhan.
[12] Ya TUHAN, tidakkah Engkau terharu oleh segala kejadian itu? Tidakkah Engkau hendak bertindak? Adakah Engkau akan membiarkan kami menderita dengan amat sangat?