Skip to content
Opens in a new window

[1] Bangunlah, hai Yerusalem, bangunlah! Kuatkanlah hatimu! Kenakanlah pakaian kebesaranmu! Hai Yerusalem, kota yang suci, orang najis tidak akan memasuki pintu gerbangmu lagi.

[2] Bebaskanlah dirimu, hai Yerusalem! Bangkitlah dan kebaskanlah debu yang melekat padamu. Putuskanlah rantai yang mengikat leher kamu, hai penduduk Sion yang tertawan!

[3] TUHAN Raja berfirman kepada umat-Nya, “Ketika kamu menjadi hamba, kamu tidak dibeli dengan wang. Demikian juga ketika kamu dibebaskan, kamu tidak akan ditebus dengan wang.

[4] Semasa kamu tinggal di Mesir sebagai orang bangsa asing, kamu pergi ke sana dengan kemahuan kamu sendiri. Lalu Asyur menawan kamu tanpa alasan.

[5] Sekarang di Babilonia hal yang sama telah berlaku: kamu ditawan tanpa alasan. Mereka yang menawan kamu sentiasa memegahkan diri dan menghina Aku.

[6] Pada masa yang akan datang, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah, dan bahawa Aku telah berfirman kepada kamu.”

[7] Betapa baiknya melihat kedatangan utusan, dia datang melintasi pergunungan, dan membawa berita baik, berita kedamaian! Dia mengisytiharkan penyelamatan, dan berkata kepada Sion, “Allahmu memerintah!”

[8] Para pengawal kota berteriak-teriak, mereka bersorak bersama-sama kerana sukacita. Dengan mata sendiri mereka melihat TUHAN kembali ke Sion.

[9] Bersorak-soraklah, hai runtuhan Yerusalem! TUHAN akan menyelamatkan kota-Nya serta menghiburkan hati umat-Nya.

[10] TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya yang suci di hadapan semua bangsa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya, dan seluruh bumi akan menyaksikannya.

[11] Pergilah! Tinggalkanlah Babilonia, hai kamu yang membawa perkakas Rumah TUHAN! Janganlah sentuh apa-apa yang najis, sucikanlah diri kamu dan berangkatlah.

[12] Kamu tidak akan pergi tergesa-gesa seperti orang yang melarikan diri. TUHAN akan memimpin kamu, Allah Israel akan melindungi kamu dari setiap penjuru.

[13] TUHAN berfirman, “Hamba-Ku akan berjaya dalam tugasnya; dia akan disanjung tinggi.

[14] Dahulu banyak orang terperanjat melihat dia, kerana rupanya dicacati sehingga tidak lagi seperti rupa manusia.

[15] Tetapi sekarang bangsa-bangsa hairan melihat dia, raja-raja terpegun kerana kagum. Mereka akan melihat dan memahami perkara-perkara yang belum pernah diketahui mereka.”

Yesaya — Chapters