[1] Hai Yerusalem, dahulu kamu seperti wanita mandul, tetapi sekarang bernyanyilah dan bersorak-sorailah dengan gembira. Sekarang kamu akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang tidak pernah ditinggalkan suami!
[2] Luaskanlah khemah kediamanmu, panjangkan talinya dan kukuhkanlah pasaknya!
[3] Kawasanmu akan diperluas di setiap sisi; pendudukmu akan kembali menghuni negeri yang sekarang diduduki oleh bangsa-bangsa lain. Kota-kota yang sekarang lengang akan dipenuhi orang.
[4] Jangan takut! Kamu tidak akan dipermalukan lagi. Kamu tidak akan dihina lagi. Kamu akan melupakan ketidaksetiaanmu pada waktu muda, dan tidak ingat akan kesunyianmu sebagai janda.
[5] Penciptamu seperti suami bagimu, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa. Allah Israel, Allah yang suci ialah Penyelamat kamu, Dialah Allah penguasa seluruh dunia.
[6] Hai Israel, kamu seperti seorang isteri yang muda, yang sedih kerana ditinggalkan oleh suaminya. Tetapi TUHAN memanggil kamu kembali kepada-Nya. Dia berfirman,
[7] “Sebentar saja Aku telah meninggalkan kamu, tetapi dengan penuh kasih Aku akan mengambil kamu kembali.
[8] Aku berpaling daripadamu sebentar saja kerana Aku sangat murka, tetapi Aku akan mengasihi kamu selama-lamanya.” Demikianlah firman TUHAN, Penyelamat kamu.
[9] “Pada zaman Nuh Aku berjanji tidak akan membanjiri bumi lagi. Sekarang Aku berjanji tidak akan murka terhadapmu lagi; Aku tidak akan memarahi atau menghukum kamu.
[10] Biarpun gunung dan bukit runtuh, tetapi Aku tidak akan berhenti mengasihi kamu; Aku akan menepati perjanjian damai-Ku.” Demikianlah firman TUHAN yang mengasihi kamu.
[11] TUHAN berfirman, “Hai Yerusalem, kota yang menderita dan tidak berdaya, tiada sesiapa pun yang menghiburkan kamu. Aku akan membina asasmu semula dengan batu nilam.
[12] Aku akan membina menaramu dengan batu delima, pintu gerbangmu dengan batu manikam merah, dan tembok di sekelilingmu dengan batu permata.
[13] Aku sendiri akan mengajar pendudukmu, dan memberi mereka kemakmuran dan kedamaian.
[14] Keadilan akan menguatkan kamu. Kamu akan terhindar daripada penindasan dan kengerian.
[15] Jika seseorang menyerbu kamu, bukanlah Aku yang menyuruhnya; sesiapa yang menyerang kamu akan jatuh.
[16] Akulah yang menciptakan tukang besi, yang menyalakan api lalu membuat senjata. Aku juga yang menciptakan askar, yang menggunakan senjata itu untuk membunuh.
[17] Tetapi tiada senjata yang dapat mencederakan kamu; semua tuduhan terhadap kamu akan kamu buktikan salah. Aku akan membela hamba-hamba-Ku, serta memberi mereka kemenangan.” Demikianlah firman TUHAN.