Skip to content
Opens in a new window

[1] “Hiburkanlah umat-Ku, hiburkanlah mereka!” firman Allah kamu.

[2] “Galakkanlah penduduk Yerusalem. Beritahulah mereka bahawa sudah cukup mereka menderita, dan dosa mereka sudah Kuampunkan.” Aku telah menghukum mereka dengan sepenuhnya kerana dosa mereka.

[3] Terdengar suara orang berseru, “Sediakanlah jalan bagi TUHAN di padang gurun! Siapkanlah jalan di padang pasir bagi Allah kita!

[4] Timbusilah tiap-tiap lembah; ratakanlah tiap-tiap gunung. Bukit-bukit akan menjadi dataran, dan tanah yang lekak-lekuk akan diratakan.

[5] Lalu keagungan TUHAN akan dinyatakan, dan segenap umat manusia akan menyaksikannya. TUHAN sendiri telah menjanjikannya.”

[6] Terdengar suara orang berseru, “Isytiharkanlah berita ini!” “Berita apa yang harus kuisytiharkan?” aku bertanya. “Isytiharkanlah bahawa manusia bagaikan rumput; mereka seperti bunga yang tidak tahan lama.

[7] Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, apabila TUHAN menghembuskan angin yang panas. Manusia juga sama seperti rumput.

[8] Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya.”

[9] Hai Yerusalem, naiklah ke atas gunung yang tinggi dan isytiharkanlah berita baik! Hai Sion, berserulah dengan suara yang lantang dan umumkanlah berita baik! Berserulah dan jangan takut. Beritahulah kota-kota di Yehuda bahawa Allah mereka akan datang!

[10] TUHAN Raja datang untuk memerintah dengan kekuasaan, Dia akan membawa umat yang telah diselamatkan-Nya.

[11] Dia akan menjaga umat-Nya seperti seorang gembala; Dia akan mengumpulkan dan mendukung anak-anak domba, dan dengan lemah lembut, memimpin induk-induk domba.

[12] Siapakah dapat menyukat air laut dengan lekuk tangannya, atau mengukur langit dengan jengkal? Siapakah yang dapat menyukat tanah bumi ini dengan cawan, atau menimbang berat gunung dan bukit dengan dacing?

[13] Siapakah dapat mengarahkan TUHAN, dan siapakah dapat mengajar dan menasihatkan Dia?

[14] Dengan siapakah Dia berunding supaya mendapat pengetahuan dan pengertian? Siapakah yang memberi Dia petunjuk untuk bertindak dengan adil?

[15] Bagi TUHAN, bangsa-bangsa seperti setitis air dalam timba, seperti sebutir debu pada neraca; pulau-pulau sama ringan dengan debu halus.

[16] Semua binatang di hutan Lebanon tidak cukup untuk dijadikan korban untuk menyenangkan hati Allah kita, dan pokok-pokok di sana tidak cukup untuk dijadikan kayu api.

[17] Bangsa-bangsa tidak bererti bagi-Nya, seolah-olah tidak wujud di hadapan-Nya.

[18] Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah? Siapakah yang kamu anggap serupa dengan Dia?

[19] Dia tidak sama dengan patung yang dibuat oleh tangan manusia, yang disaluti emas oleh tukang emas, lalu ditegakkan di atas alas perak.

[20] Orang yang tidak mampu membeli perak atau emas, memilih kayu yang tidak mudah reput. Dia mencari tukang yang pandai untuk membuat patung yang tidak akan jatuh.

[21] Tidakkah kamu tahu? Tidakkah kamu diberitahu sejak dahulu? Bukankah Allah yang mencipta bumi?

[22] Dialah yang menguasai seluruh bumi; penduduk bumi kelihatan kecil seperti belalang. Dia membentangkan langit seperti kain, dan memasangnya seperti khemah untuk didiami.

[23] Dia menjatuhkan pemerintah yang berkuasa, dan meniadakan kuasa mereka.

[24] Mereka itu seperti tanaman muda, yang baru tumbuh akarnya. Apabila TUHAN menghembuskan angin, mereka kering dan diterbangkan seperti jerami.

[25] Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah Yang Maha Suci? Adakah sesiapa yang seperti Dia?

[26] Pandanglah ke langit dan perhatikanlah! Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Dia yang menyuruh bintang keluar seperti pasukan askar, Dia tahu akan jumlahnya, dan memanggil nama setiap bintang! Kuasa-Nya amat besar - tidak satu bintang pun yang hilang!

[27] Jika demikian, hai Israel, mengapakah kamu mengeluh, bahawa TUHAN tidak tahu akan kesusahan kamu, dan tidak mempedulikan hak kamu?

[28] Tidakkah kamu tahu? Belumkah kamu mendengar? TUHAN ialah Allah yang kekal; Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu. Tiada sesiapa pun dapat menyelami fikiran-Nya.

[29] Dia menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya.

[30] Orang muda pun menjadi letih dan lesu; anak muda pun jatuh kerana keletihan.

[31] Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah.

Yesaya — Chapters