[1] Keturunan Raja Daud seperti pokok yang sudah ditebang. Tetapi sebagaimana tunas baru tumbuh pada tunggul pokok, demikian juga seorang raja yang baru akan muncul daripada keturunan Raja Daud.
[2] Kuasa TUHAN akan mengurniakan kebijaksanaan kepada dia juga pengetahuan dan kecekapan untuk memerintah umatnya. Dia mengenal kehendak TUHAN dan menghormati Dia.
[3] Dia suka mentaati TUHAN. Dia tidak menghakimi orang secara sekilas pandang ataupun berdasarkan kata orang.
[4] Dia menghakimi perkara orang miskin dengan adil, dan membela hak orang yang lemah. Dengan perintahnya bumi dihukum, dan orang jahat akan dibinasakan.
[5] Dia akan memerintah umatnya dengan adil dan jujur.
[6] Serigala akan tinggal dengan domba, dan harimau bintang akan berbaring di samping anak kambing. Anak lembu dan anak singa akan makan bersama-sama, dan kanak-kanak akan menjaga semuanya.
[7] Lembu dan beruang akan makan bersama-sama, dan anak lembu akan berbaring di samping anak beruang. Singa akan makan rumput seperti lembu.
[8] Bahkan bayi tidak akan cedera, apabila bermain dekat ular berbisa.
[9] Di Sion, Bukit Suci Allah, tiada apa-apa pun yang jahat atau berbahaya. Bumi akan penuh dengan orang yang mengenal dan menghormati TUHAN sebagaimana lautan penuh dengan air.
[10] Suatu hari akan tiba apabila seorang raja keturunan Raja Daud akan menjadi tanda kepada bangsa-bangsa. Mereka akan datang kepadanya, dan bangsanya sendiri akan menjadi masyhur.
[11] Pada hari itu Tuhan akan sekali lagi menggunakan kuasa-Nya untuk membawa kembali umat-Nya yang masih hidup di Asyur dan Mesir, di negeri Patros, Etiopia, Elam, Babilonia, dan Hamat, serta di kawasan pantai dan di pulau-pulau.
[12] TUHAN akan mengibarkan panji untuk menunjukkan kepada bangsa-bangsa bahawa Dia sedang mengumpulkan semula penduduk Israel dan Yehuda yang terserak di segala pelosok bumi dan membawa mereka pulang.
[13] Kerajaan Israel tidak lagi iri hati terhadap Yehuda, dan Yehuda pun tidak lagi memusuhi Israel.
[14] Mereka bersama-sama akan menyerang orang Filistin di sebelah barat dan menjarahi penduduk di sebelah timur. Mereka akan mengalahkan penduduk Edom dan Moab. Penduduk Amon akan takluk kepada mereka.
[15] TUHAN akan mengeringkan Teluk Suez. Dia akan membuat angin panas bertiup sehingga Sungai Efrat menjadi tujuh batang anak sungai yang cetek, dan sesiapa pun dapat menyeberanginya dengan berjalan kaki.
[16] Bagi umat-Nya yang masih hidup akan ada lebuh raya untuk keluar dari Asyur, seperti pada waktu nenek moyang bangsa Israel keluar dari Mesir.