[1] Inilah perkhabaran tentang Yehuda dan Yerusalem yang diberikan Allah kepada Yesaya anak Amos:
[2] Pada masa hadapan bukit tempat Rumah TUHAN akan menjadi bukit yang tertinggi antara segala bukit yang lain. Semua bangsa akan berduyun-duyun ke sana,
[3] dan mereka akan berkata, “Marilah kita pergi ke bukit TUHAN, ke rumah Allah Israel. Dia akan mengajar kita tentang kehendak-Nya; dan kita akan mengikut jalan yang dipilih-Nya, kerana ajaran TUHAN berasal dari Yerusalem; dari Sion Dia berfirman kepada umat-Nya.”
[4] Dia akan menghakimi bangsa-bangsa, dan menyelesaikan perselisihan mereka. Mereka akan menempa pedang menjadi bajak, dan tombak menjadi pisau pemangkas. Bangsa-bangsa tidak lagi berperang, dan tidak lagi bersiap untuk menyerang.
[5] Hai keturunan Yakub, marilah kita hidup dalam cahaya yang diberikan TUHAN!
[6] Ya Allah, Engkau telah meninggalkan umat-Mu, keturunan Yakub! Negeri ini penuh dengan ilmu sihir dari timur dan dari negeri orang Filistin. Penduduk meniru adat istiadat orang bangsa asing.
[7] Negeri mereka penuh dengan perak dan emas; harta benda mereka tidak terhingga. Kuda mereka amat banyak dan kereta kuda mereka tidak terbilang.
[8] Negeri mereka penuh dengan berhala, dan mereka menyembah patung-patung yang dibuat oleh mereka sendiri.
[9] Tiap-tiap orang akan dihinakan dan dipermalukan. Jangan ampuni mereka, ya TUHAN!
[10] Mereka akan bersembunyi di dalam gua di bukit-bukit batu, atau menggali lubang di tanah untuk melarikan diri daripada kemurkaan TUHAN, dan bersembunyi daripada kuasa serta kemuliaan-Nya!
[11] Harinya akan tiba apabila kesombongan manusia dilenyapkan, dan keangkuhan manusia dimusnahkan. Barulah TUHAN sahaja yang akan dipermuliakan.
[12] Pada hari itu TUHAN Yang Maha Kuasa akan merendahkan semua orang yang meninggikan diri, dan menghukum semua orang yang sombong.
[13] Dia akan memusnahkan pokok-pokok sedar yang tinggi di Lebanon, dan semua pokok besar di Basan.
[14] Dia akan meratakan gunung-gunung tinggi dan bukit-bukit,
[15] serta merobohkan tiap-tiap menara tinggi dan tembok kubu.
[16] Bahkan kapal-kapal yang terbesar dan terindah akan ditenggelamkan-Nya.
[17] Kesombongan manusia akan dilenyapkan, dan keangkuhan manusia akan dimusnahkan. Berhala-berhala akan lenyap sama sekali, dan TUHAN sahaja yang akan dipermuliakan pada hari itu.
[19] Orang akan bersembunyi di dalam gua di bukit-bukit batu, atau menggali lubang di tanah untuk melarikan diri daripada kemurkaan TUHAN, dan bersembunyi daripada kuasa dan kemuliaan-Nya apabila Dia datang untuk menggoncang bumi.
[20] Pada hari itu kelak, orang akan membuang berhala yang dibuat daripada perak dan emas, serta meninggalkan semuanya untuk tikus dan kelawar.
[21] Apabila TUHAN datang untuk menggoncang bumi, orang akan bersembunyi di dalam lubang dan di dalam gua di bukit-bukit batu untuk melarikan diri daripada kemurkaan-Nya, dan bersembunyi daripada kuasa serta kemuliaan-Nya.
[22] Oleh itu jangan percaya kepada manusia fana kerana mereka tidak berharga.