[1] Hai Israel, demikianlah firman TUHAN yang telah menciptakan kamu, “Janganlah takut! Aku akan menyelamatkan kamu. Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu, kamu milik-Ku.
[2] Apabila kamu menyeberangi laut yang dalam, Aku akan menyertai kamu; kamu tidak akan tenggelam dalam kesusahan. Apabila kamu melalui api, kamu tidak akan terbakar; kamu tidak akan dicelakakan oleh cubaan yang berat.
[3] Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci, yang telah menyelamatkan kamu. Aku akan menyerahkan Mesir untuk menebus kamu; Aku akan menyerahkan Etiopia dan Seba untuk membebaskan kamu.
[4] Aku akan menyerahkan bangsa-bangsa sebagai ganti nyawa kamu, kerana kamu berharga bagi-Ku, dan kerana Aku mengasihi serta mengendahkan kamu.
[5] Janganlah takut, kerana Aku menyertai kamu. Dari timur dan barat Aku akan membawa anak cucu kamu pulang.
[6] Aku akan menyuruh negeri di utara melepaskan mereka, dan negeri di selatan membebaskan mereka. Biarlah umat-Ku pulang dari negeri-negeri jauh, dari segala pelosok dunia.
[7] Merekalah umat-Ku, Aku telah menciptakan mereka untuk memuliakan Aku.”
[8] Allah berfirman, “Perintahlah umat-Ku datang menghadap. Mereka mempunyai mata, tetapi buta; mereka mempunyai telinga, tetapi pekak!
[9] Perintahlah semua bangsa dan suku berhimpun. Siapakah antara mereka dapat meramalkan masa depan, dan memberitahukan apa yang berlaku sekarang? Biarlah mereka menghadapkan saksi-saksi untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah, dan bahawa kata-kata mereka benar.
[10] Hai umat Israel, kamulah saksi-Ku; Aku memilih kamu menjadi hamba-Ku supaya kamu mengenal Aku serta percaya kepada-Ku, dan mengerti bahawa Aku satu-satunya Allah. Selain Aku, tidak ada tuhan-tuhan lain; baik pada masa dahulu, mahupun pada masa akan datang.
[11] Hanya Akulah TUHAN, Aku sahaja yang dapat menyelamatkan kamu.
[12] Aku bernubuat tentang hal-hal yang akan berlaku, lalu Aku datang menolong kamu. Tiada dewa asing yang pernah berbuat hal seperti itu; kamulah saksi-Ku.
[13] Akulah Allah, dan Aku tetap Allah selama-lamanya. Tiada seorang pun dapat melepaskan diri daripada kuasa-Ku; tiada sesiapa pun dapat menghalang Aku bertindak.”
[14] Allah Israel, Allah yang suci, TUHAN yang menyelamatkan kamu berfirman, “Aku akan mengirim tentera untuk menyelamatkan kamu dari Babel; Aku akan merobohkan pintu-pintu gerbang, lalu sorak-sorai penduduk Babel akan berubah menjadi tangisan.
[15] Akulah TUHAN, Allah kamu, Allah yang suci. Akulah pencipta kamu, hai Israel, Akulah raja kamu.”
[16] Dahulu TUHAN membuat jalan melalui laut, jalan melalui air yang bergelora.
[17] Dia membinasakan pasukan tentera yang besar: pasukan berkereta kuda dan pasukan berkuda. Mereka jatuh, tidak dapat bangkit lagi; mereka mati seperti sumbu yang padam.
[18] Tetapi TUHAN berfirman, “Jangan ingat akan peristiwa lalu, jangan kenang perkara yang sudah-sudah.
[19] Perhatikanlah perkara baru yang akan segera Kulakukan. Lihatlah, Aku sudah pun memulakannya. Aku akan membina jalan di padang gurun, dan memberi kamu anak-anak sungai di padang pasir.
[20] Bahkan haiwan liar akan menghormati Aku, serigala dan burung unta akan memuji Aku apabila Aku mengalirkan anak-anak sungai di padang gurun, untuk memberikan minuman kepada umat pilihan-Ku.
[21] Merekalah umat yang telah Kujadikan milik-Ku sendiri, mereka akan menyanyikan pujian untuk Aku.”
[22] TUHAN berfirman, “Namun hai Israel, kamu telah bosan dengan Aku, kamu tidak lagi menyembah Aku.
[23] Kamu tidak membawa domba sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku; kamu tidak menghormati Aku dengan korban yang kamu persembahkan. Padahal Aku tidak membebani kamu dengan meminta persembahan atau menyusahkan kamu dengan menuntut kemenyan.
[24] Kamu tidak membeli dupa harum bagi-Ku, ataupun memuaskan Aku dengan lemak binatang yang kamu persembahkan. Sebaliknya kamu membebani Aku dengan dosa kamu; kamu menyusahkan Aku dengan kesalahan kamu.
[25] Namun Aku ini Allah yang mengampunkan dosa kamu, dan Aku berbuat demikian kerana begitulah sifat-Ku. Aku tidak akan mengingat dosa kamu.
[26] Marilah kita pergi ke mahkamah; ajukanlah tuduhan-tuduhan kamu! Adukan perkara kamu dan buktikan bahawa kamu tidak bersalah!
[27] Nenek moyang kamu yang pertama telah berdosa; para pemimpin kamu pun berdosa terhadap Aku,
[28] dan para imam kamu menajiskan tempat kediaman-Ku. Itulah sebabnya Aku membinasakan Israel, Aku membiarkan umat-Ku dihinakan.”