Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Lakukanlah apa yang adil dan sesuai dengan hukum-Ku, kerana tidak lama lagi Aku akan menyelamatkan kamu.

[2] Aku akan memberkati orang yang sentiasa merayakan hari Sabat dan tidak menyalahgunakannya. Aku akan memberkati orang yang tidak melakukan kejahatan.”

[3] Orang bangsa asing yang telah bergabung dengan umat TUHAN tidak boleh berkata, “TUHAN tidak membenarkan aku menyembah Dia bersama-sama umat-Nya.” Orang yang telah dikembiri tidak boleh berkata bahawa dia bukan sebahagian daripada umat Allah kerana dia tidak boleh mendapat anak.

[4] TUHAN berfirman kepada orang itu, “Jika kamu menghormati Aku dengan merayakan hari Sabat, dan jika kamu melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati-Ku, serta berpegang teguh pada perjanjian-Ku,

[5] maka nama kamu akan diingat di dalam Rumah-Ku dan di kalangan umat-Ku. Hal itu lebih baik daripada mempunyai anak lelaki dan anak perempuan. Kamu tidak akan dilupakan.”

[6] TUHAN berfirman kepada orang bangsa asing yang telah menjadi sebahagian daripada umat-Nya, yang mengasihi Dia dan berbakti kepada-Nya, yang merayakan hari Sabat serta berpegang teguh pada perjanjian-Nya,

[7] “Aku akan membawa kamu ke Sion, bukit-Ku yang suci. Aku akan memberi kamu kegembiraan di dalam rumah doa-Ku. Aku akan menyambut korban-korban yang kamu persembahkan di mazbah-Ku. Rumah-Ku akan disebut rumah doa bagi semua bangsa.”

[8] TUHAN Raja yang membawa umat-Nya pulang dari pembuangan telah berjanji bahawa Dia juga akan mengumpulkan bangsa lain untuk bergabung dengan mereka yang sudah terkumpul.

[9] TUHAN telah menyuruh bangsa-bangsa asing datang seperti binatang buas untuk memakan umat-Nya.

[10] Dia berfirman, “Semua pemimpin umat-Ku buta. Mereka seharusnya memberikan amaran kepada umat-Ku. Mereka tidak tahu apa-apa. Mereka seperti anjing pengawal yang tidak dapat menyalak; mereka hanya tahu tidur dan bermimpi.

[11] Mereka seperti anjing yang rakus; tidak puas-puas makan. Mereka tidak mempunyai pengertian; masing-masing berbuat sesuka hati dan mencari keuntungan diri sendiri.

[12] Pemabuk-pemabuk itu berkata, ‘Marilah kita minum wain dengan sepuas-puasnya. Esok lebih baik daripada hari ini.’ ”

Yesaya — Chapters