Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN berfirman, “Marilah, setiap orang yang haus, minumlah air yang tersedia. Marilah, kamu yang tidak mempunyai wang, terimalah gandum dan makanlah. Mari! Terimalah wain dan susu, tanpa membayar apa-apa.

[2] Mengapakah kamu membeli sesuatu yang tidak memuaskan? Mengapakah kamu bekerja untuk sesuatu yang tidak mengenyangkan? Dengarlah firman-Ku dan turutlah perintah-Ku, maka kamu akan menikmati makanan yang terbaik.

[3] Sekarang dengarlah, hai umat-Ku; datanglah kepada-Ku, lalu kamu akan hidup. Aku akan mengadakan perjanjian yang kekal dengan kamu, dan memberi kamu berkat yang Kujanjikan kepada Daud.

[4] Aku menjadikan dia seorang pemimpin dan panglima bangsa-bangsa, dan melalui dia, Aku menunjukkan kuasa-Ku kepada mereka.

[5] Kamu akan memanggil bangsa-bangsa asing untuk menghadap; pada suatu masa dahulu mereka tidak mengenal kamu, tetapi sekarang mereka berlari kepada kamu. Aku, TUHAN Allah kamu, Allah Israel, Allah yang suci akan melaksanakan segala perkara ini; Aku akan mengagungkan kamu.”

[6] Kembalilah kepada TUHAN semasa masih dapat; berserulah kepada-Nya semasa Dia masih dekat.

[7] Biarlah orang jahat meninggalkan cara hidup mereka, dan mengubah jalan fikiran mereka. Biarlah mereka kembali kepada TUHAN, Allah kita, kerana Dia berbelas kasihan dan sentiasa sedia mengampuni.

[8] TUHAN berfirman, “Fikiran-Ku bukan seperti fikiran kamu, dan jalan-Ku bukan seperti jalan kamu.

[9] Setinggi langit dari bumi, setinggi itulah jalan-Ku daripada jalanmu, dan fikiran-Ku daripada fikiranmu.

[10] Firman-Ku seperti salji dan hujan yang turun dari langit untuk membasahi bumi, serta menumbuhkan tanaman sehingga menghasilkan benih untuk ditanam dan makanan untuk dimakan.

[11] Demikian jugalah firman yang Aku ucapkan akan berjaya mencapai tujuan-Ku, dan melakukan setiap perkara yang Aku tentukan.

[12] Kamu akan meninggalkan Babel dengan sukacita, kamu akan dipimpin keluar dari kota itu dengan kedamaian. Gunung dan bukit akan bernyanyi dengan gembira, semua pokok di padang akan bertepuk tangan.

[13] Pokok sipres akan menggantikan semak duri, pokok kemunting menggantikan semak belukar. Kejadian ini sebagai tanda yang kekal, peringatan bahawa Aku, TUHAN, telah melakukannya.”

Yesaya — Chapters