Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:08

[1] Selepas hari Sabat, ketika fajar menyingsing pada hari pertama minggu itu, Maria Magdalena dan Maria yang seorang lagi pergi melihat makam Yesus.

[2] Tiba-tiba terjadi gempa bumi yang hebat, kerana seorang malaikat Tuhan turun dari syurga lalu menggulingkan batu yang menutup makam itu dan duduk di atasnya.

[3] Wajahnya laksana kilat dan pakaiannya seputih salji.

[4] Para pengawal menggeletar ketakutan apabila melihatnya, lalu menjadi seperti orang mati.

[5] Tetapi malaikat itu berkata kepada perempuan-perempuan itu, "Jangan takut, aku tahu kamu mencari Yesus yang telah disalib.

[6] Dia tidak ada di sini, kerana Dia telah bangkit semula, seperti yang dikatakan-Nya. Marilah lihat tempat Dia dibaringkan dahulu.

[7] Kemudian, segeralah pergi dan katakan kepada murid-murid-Nya bahawa Dia telah bangkit daripada kematian, dan Dia mendahului kamu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya. Lihatlah, aku telah memberitahumu."

[8] Mereka pun keluar dari makam itu dengan takut dan amat gembira, lalu berlari untuk membawa berita itu kepada para murid Yesus.

[9] Dalam perjalanan, tiba-tiba Yesus menemui mereka sambil berkata, "Salam sejahtera!" Lalu mereka pun mendekati Yesus dan memegang kaki-Nya serta menyembah-Nya.

[10] Kemudian Yesus berkata kepada mereka, "Jangan takut. Pergilah dan suruh saudara-saudara-Ku ke Galilea. Di sana mereka akan melihat-Ku."

[11] Sementara perempuan itu sedang dalam perjalanan, beberapa orang pengawal tersebut masuk ke kota dan melaporkan kepada ketua-ketua imam apa yang telah terjadi.

[12] Setelah bermesyuarat dengan tua-tua, mereka memberikan sejumlah wang yang besar kepada askar-askar yang berkawal itu

[13] serta berpesan, "Beritahu orang, 'Para murid-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya lalu dibawa pergi sewaktu kami sedang tidur.'

[14] Kalau hal ini sampai ke telinga gabenor, kami akan melembutkan hatinya dan kamu tidak akan diapa-apakan."

[15] Mereka menerima wang itu dan melakukan apa yang diarahkan. Cerita ini biasa disebarkan dalam kalangan orang Yahudi hingga sekarang.

[16] Kemudian, murid Yesus yang sebelas itu pergi ke Galilea, ke gunung yang telah ditetapkan oleh-Nya.

[17] Di sana mereka melihat-Nya lalu menyembah-Nya. Namun demikian, ada antara mereka yang ragu.

[18] Yesus berkata kepada mereka, "Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi.

[19] Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus.

[20] Ajar mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman."

Matius — Chapters