Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:47

[1] Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Yesus.

[2] Herodes berkata kepada orang di bawahnya, "Ini tentu Yohanes Pembaptis. Dia telah dibangkitkan daripada kematian! Itulah sebab Dia mempunyai kuasa melakukan mukjizat."

[3] Sebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yohanes ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus.

[4] Yohanes telah memberitahu Herodes, "Mengambil Herodias sebagai isterimu adalah haram."

[5] Herodes hendak membunuh Yohanes tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi.

[6] Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis dan menyenangi hati Herodes,

[7] sehingga Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu.

[8] Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga.

[9] Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia memerintahkan supaya permintaan gadis itu dilaksanakan.

[10] Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yohanes di penjara.

[11] Kepala Yohanes diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya.

[12] Selepas itu, murid Yohanes datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Yesus tentangnya.

[13] Sebaik-baik mendengar tentang Yohanes, Yesus menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun demikian, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Yesus melalui jalan darat dari kota.

[14] Setelah Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit dalam kalangan mereka.

[15] Apabila menjelang petang, para murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, "Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan."

[16] Tetapi Yesus menjawab, "Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan."

[17] Kata para murid Yesus, "Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan."

[18] Yesus berkata, "Bawalah makanan itu kepada-Ku."

[19] Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu.

[20] Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul.

[21] Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.

[22] Setelah itu, Yesus menyuruh murid-murid-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang.

[23] Setelah menyuruh mereka pulang, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Yesus berada di situ seorang diri.

[24] Ketika itu perahu yang dinaiki oleh murid-murid-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.

[25] Antara dinihari dan subuh, Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka.

[26] Apabila murid-murid-Nya melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, "Hantu!"

[27] Yesus segera berkata kepada mereka, "Tabahkanlah hatimu. Aku Yesus. Jangan takut."

[28] Petrus berkata, "Tuhan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu."

[29] "Marilah," sahut Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Yesus.

[30] Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. "Tuhan! Selamatkan aku!" serunya.

[31] Yesus segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, "Begitu tipis kepercayaanmu, mengapa engkau ragu?"

[32] Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada.

[33] Selepas itu, para murid Yesus yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, "Sesungguhnya, Engkaulah Anak Allah!"

[34] Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret.

[35] Orang di situ mengenal Yesus lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya.

[36] Mereka merayu Yesus supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.

Matius — Chapters