Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:37

[1] "Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki.

[2] Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal.

[3] Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak.

[4] Yang bijak membawa lampu bersama bekas berisi minyak.

[5] Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur.

[6] Pada waktu tengah malam terdengar seruan, 'Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!'

[7] Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka.

[8] Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, 'Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.'

[9] Tetapi yang bijak menjawab, 'Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.'

[10] Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup.

[11] Kemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, 'Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!'

[12] Tetapi pengantin lelaki berkata, 'Sesungguhnya, aku tidak mengenalmu.' "

[13] "Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya."

[14] "Kerajaan syurga sama seperti seorang yang berpergian dan memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya.

[15] Kepada yang seorang dia memberikan lima talenta, kepada seorang lagi dua, kepada yang seorang lagi satu, masing-masing menurut kebolehannya. Setelah itu, dia pun bertolak.

[16] Hamba yang menerima lima talenta itu memperniagakannya, lalu mendapat untung lima talenta lagi.

[17] Demikian juga yang menerima dua talenta, dia mendapat laba dua talenta lagi.

[18] Tetapi yang menerima satu talenta menggali lubang di tanah dan menyembunyikan wang tuannya di situ.

[19] Selepas beberapa lama, tuan kepada hamba-hamba itu pulang lalu menyelesaikan kira-kira dengan mereka.

[20] Hamba yang menerima lima talenta dahulu membawakan lima talenta lagi sambil berkata, 'Tuan, tuan telah memberiku lima talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan lima talenta lagi dengannya.'

[21] Tuannya berkata kepadanya, 'Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.'

[22] Yang telah menerima dua talenta pula datang lalu berkata, 'Tuan, tuan telah memberiku dua talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan dua talenta lagi dengannya.'

[23] Tuannya berkata kepadanya, 'Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.'

[24] Kemudian hamba yang menerima satu talenta itu datang lalu berkata, 'Tuan, aku tahu tuan berhati batu. Tuan menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.

[25] Jadi aku takut, lalu kusorokkan satu talenta tuan itu di dalam tanah. Lihat, itulah hak milik tuan.'

[26] Tetapi tuannya menjawab, 'Hai hamba yang zalim dan malas, kamu tahu aku menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.

[27] Oleh itu, sepatutnya kamu simpan wang itu di dalam tabung, supaya ketika aku pulang, aku menerima wang itu dengan faedahnya.'

[28] 'Sekarang, ambillah talenta itu daripadanya dan berikannya kepada yang mempunyai sepuluh talenta itu.

[29] Demikianlah, kepada setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih lagi, sehingga dia penuh kelimpahan; sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya pun akan diambil.

[30] Buangkan hamba yang tidak berguna ini ke dalam kegelapan di luar. Di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.' "

[31] "Apabila Anak Manusia datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya.

[32] Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing.

[33] Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya.

[34] Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, 'Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta.

[35] Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu;

[36] Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.'

[37] Orang yang benar itu pun bertanya, 'Tuhan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman?

[38] Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian?

[39] Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?'

[40] Raja akan menjawab, 'Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.'

[41] Selepas itu, Dia akan berkata kepada mereka yang di sebelah kiri-Nya, 'Nyahlah dari sisiku, kamu yang terlaknat, ke dalam api kekal yang telah disediakan untuk Iblis dan para malaikatnya;

[42] kerana Aku lapar dan kamu tidak memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu tidak memberi-Ku minuman.

[43] Aku orang asing dan kamu tidak menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu tidak memberi-Ku pakaian; Aku sakit, Aku di dalam penjara, dan kamu tidak melawat-Ku.'

[44] Mereka akan berkata, 'Tuhan kami, bilakah kami melihat-Mu lapar, atau dahaga, orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau di dalam penjara, dan tidak mengambil berat tentang-Mu?'

[45] Dia akan menjawab, 'Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.'

[46] Mereka itu akan menanggung hukuman selama-lamanya, manakala mereka yang benar akan menikmati hidup kekal."

Matius — Chapters