Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:45

[1] Apabila Yesus melangkah keluar dari Bait Suci, murid-murid-Nya datang mendapatkannya lalu menunjukkan bangunan-bangunan Bait Suci itu.

[2] Yesus berkata kepada mereka, "Lihatlah semuanya ini! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seketul pun batunya akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan."

[3] Ketika Yesus duduk di atas Bukit Zaitun, murid-murid-Nya datang mendapatkan-Nya. Pada masa itu tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, "Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan terjadi? Apakah tanda-tanda kedatangan-Mu dan akhir zaman?"

[4] Yesus menjawab mereka, "Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun!

[5] Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, 'Akulah Kristus!' Mereka akan membuat ramai orang terperdaya.

[6] Kamu akan mendengar tentang peperangan dan desas-desus peperangan, tetapi janganlah kamu gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman.

[7] Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Kebuluran dan gempa bumi akan berlaku di merata-rata.

[8] Segala ini cuma permulaan kesakitan sebelum bersalin.

[9] Setelah itu, kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua bangsa kerana nama-Ku.

[10] Pada masa itu ramai tidak akan lagi beriman kepada-Ku dan mereka akan saling mengkhianati dan membenci.

[11] Ramai nabi palsu akan tampil memperdaya orang ramai.

[12] Kejahatan semakin merebak sehingga kasih sayang hampir luput dari hati manusia.

[13] Namun demikian, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan.

[14] Injil tentang kerajaan Allah akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua bangsa. Selepas itu, barulah tiba akhir zaman."

[15] "Oleh itu, apabila kamu melihat 'kekejian yang membawa kebinasaan' yang disebut oleh nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikan ertinya),

[16] ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.

[17] Orang yang di atas bumbung ketika itu janganlah masuk ke rumah mengambil apa-apa.

[18] Orang yang di ladang usahlah pulang mengambil jubah.

[19] Malanglah ibu yang mengandung dan menyusui anak.

[20] Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat.

[21] Ketika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi.

[22] Kalaulah masa itu tidak disingkatkan, tiada seorang pun akan selamat. Namun demikian, demi umat pilihan-Nya, masa itu disingkatkan.

[23] Pada waktu itu, jika orang berkata kepadamu, 'Lihat, Kristus ada di sini!' atau 'Dia ada di sana!' janganlah percaya.

[24] Kerana beberapa kristus palsu dan nabi palsu akan muncul dan menunjukkan pelbagai mukjizat serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk umat pilihan.

[25] Dengarlah! Aku telah memberitahumu semua ini sebelum terjadi.

[26] Jika orang berkata kepadamu, 'Lihat! Dia ada di gurun!' janganlah kamu ke sana. Dan jika mereka berkata, 'Dia ada di dalam bilik!' usahlah kamu percaya.

[27] Sesungguhnya, Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur hingga ke barat.

[28] Di mana ada bangkai, di situlah berkerumunnya burung nasar."

[29] "Tidak lama selepas kesengsaraan masa itu, 'matahari akan dikelamkan dan bulan tidak akan bersinar lagi; Bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang.'

[30] Tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Semua suku bangsa di bumi akan menangis melihat Anak Manusia dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.

[31] Sangkakala akan dibunyikan dengan kuatnya, dan Anak Manusia akan menghantar malaikat-malaikat-Nya dan menghimpunkan umat pilihan-Nya dari empat mata angin, dari satu hujung langit ke hujung yang lain."

[32] "Ambillah iktibar daripada ibarat tentang pokok ara. Apabila dahan-dahannya sudah melembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba.

[33] Demikianlah apabila kamu melihat perkara-perkara ini, ketahuilah kamu bahawa waktunya hampir tiba, sudah di ambang pintu.

[34] Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi.

[35] Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap."

[36] "Tetapi tentang hari dan waktunya, tiada siapa yang tahu hari atau waktunya, baik para malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu.

[37] Sebagaimana yang berlaku pada zaman Nuh, demikianlah kelak pada hari kedatangan Anak Manusia.

[38] Sebelum banjir melanda, mereka makan minum, berkahwin dan dikahwinkan, hinggalah waktu Nuh masuk ke bahtera.

[39] Mereka tidak sedar apa yang berlaku hingga banjir memusnahkan mereka. Demikianlah kelak pada hari kedatangan Anak Manusia.

[40] Pada masa itu, ada dua orang yang sedang bekerja di ladang, seorang dibawa dan seorang ditinggalkan.

[41] Antara dua orang wanita yang sedang menggiling gandum, seorang akan dibawa manakala yang seorang lagi ditinggalkan.

[42] Berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya Tuhanmu datang.

[43] Ingatlah: Sekiranya tuan rumah mengetahui bila masanya pencuri akan datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk.

[44] Kamu juga hendaklah sentiasa bersedia. Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka."

[45] "Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya menjadi pengurus rumahnya dan memberikan makan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya.

[46] Diberkatilah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali.

[47] Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan mengamanahkan segala harta bendanya kepada hamba itu.

[48] Tetapi jika hamba itu zalim, dia akan berkata dalam hatinya, 'Tuan akan pulang lambat,'

[49] lalu dia pun memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan pemabuk.

[50] Kemudian tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya, dan pada waktu yang tidak diketahuinya.

[51] Dia akan membunuh hamba itu dan membuangnya ke tempat orang munafik. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi."

Matius — Chapters