[1] Setelah itu, beberapa orang Farisi dan ahli Taurat dari Yerusalem datang mendapatkan Yesus lalu bertanya,
[2] "Mengapa murid-Mu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!"
[3] Yesus menjawab, "Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu?
[4] Allah berfirman, 'Hormatilah ibu bapamu' dan 'Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.'
[5] Sebaliknya kamu mengajar, 'Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, "Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah,"
[6] maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya. Demikianlah kamu menyatakan Firman Allah tidak berlaku atas sebab adat istiadatmu.'
[7] Kamu munafik! Tepat sekali kata-kata Yesaya dalam nubuatnya tentangmu:
[8] 'Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
[9] Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku, sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.' "
[10] Kemudian Yesus memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, "Dengar dan fahamlah!
[11] Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya, itulah yang menajiskannya."
[12] Selepas itu, para murid Yesus mendapatkan-Nya dan berkata, "Tahukah Engkau bahawa orang Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?"
[13] Yesus menjawab, "Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut.
[14] Jangan hiraukan orang Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit."
[15] Petrus berkata, "Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami."
[16] Yesus berkata, "Kamu masih tidak faham.
[17] Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula.
[18] Sebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan.
[19] Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberi kesaksian palsu, dan memfitnah.
[20] Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan."
[21] Yesus beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon.
[22] Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Yesus sambil berseru, "Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!"
[23] Yesus diam tidak menjawab. Para murid-Nya memohon kepada-Nya, "Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung."
[24] Yesus berkata kepada wanita itu, "Aku diutus khusus kepada keturunan kaum Israel yang seperti domba yang hilang."
[25] Wanita itu mendekati Yesus dan menyembah-Nya sambil berkata, "Tuan, tolonglah aku."
[26] Yesus menjawab, "Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing."
[27] "Benar, Tuan," balas wanita itu, "tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya."
[28] Oleh yang demikian Yesus berkata kepadanya, "Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku." Serta-merta anak wanita itu pulih.
[29] Yesus beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu, Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ.
[30] Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang menghidap pelbagai penyakit. Yesus menyembuhkan mereka.
[31] Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Allah Israel.
[32] Yesus memanggil murid-murid-Nya lalu berkata, "Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan."
[33] Para murid-Nya berkata, "Di manakah dapat kami cari roti yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?"
[34] Yesus bertanya, "Berapa banyakkah roti yang ada padamu?" "Tujuh buku," jawab mereka, "dan beberapa ekor ikan kecil."
[35] Yesus menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah.
[36] Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.
[37] Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.
[38] Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak.
[39] Setelah itu, Yesus menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia menaiki perahu dan pergi ke kawasan Magadan.