[1] "Kerajaan syurga seperti seorang tuan tanah yang keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladang anggurnya.
[2] Dia bersetuju membayar upah sekeping wang dinar. Kemudian dia pun menyuruh mereka pergi ke ladang.
[3] Kira-kira jam ketiga, tuan tanah itu keluar lagi lalu melihat beberapa orang lain berdiri-diri tanpa berbuat apa-apa di pasar.
[4] Dia berkata kepada mereka, 'Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberimu upah yang berpatutan.'
[5] Mereka pun pergi. Pada jam keenam dan kesembilan, begitu jugalah yang terjadi.
[6] Kira-kira jam kesebelas dia pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang berdiri-diri tidak berbuat apa-apa. Dia menanya mereka, 'Mengapa kamu membuang masa tidak membuat apa-apa kerja?'
[7] Mereka menjawab, 'Tiada siapa mengupah kami bekerja.' 'Kalau begitu, pergilah bekerja di ladang anggurku,' kata tuan tanah itu.
[8] Setelah hari petang, tuan ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, 'Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir hingga kepada pekerja yang datang awal sekali.'
[9] Mereka yang bekerja dari kira-kira jam kesebelas menerima sekeping wang dinar seorang.
[10] Oleh itu, mereka yang bekerja sejak pagi menjangka akan menerima bayaran yang lebih, tetapi mereka pun mendapat sekeping wang dinar seorang.
[11] Mereka pun mulalah bersungut kepada tuan tanah itu.
[12] Mereka berkata, 'Pekerja-pekerja yang baru datang itu cuma bekerja sejam sedangkan kami sehari suntuk dalam panas matahari. Tetapi tuan membayar kami dan mereka sama sahaja!'
[13] Tuan tanah itu menjawab seorang daripada mereka, 'Dengarlah, kawan, aku tidak menipumu. Bukankah kamu telah bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang dinar sehari?
[14] Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu upah yang sama.
[15] Bukankah hakku berbuat sesuka hati dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu busuk hati kerana aku bermurah hati?' "
[16] Yesus berkata lagi, "Begitulah, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang terdahulu akan menjadi yang terakhir."
[17] Ketika Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem, Dia mengajak dua belas orang murid-Nya ke tepi dan berkata hanya kepada mereka:
[18] "Dengarlah, kita sekarang ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.
[19] Kemudian mereka akan menyerahkan-Nya ke tangan bangsa asing. Dia akan diejek, disebat dan disalib oleh mereka. Tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan semula."
[20] Setelah itu, isteri Zebedeus datang mendapatkan Yesus dengan kedua-dua orang anaknya. Dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon sesuatu.
[21] "Apakah permintaanmu?" tanya Yesus. Ibu itu menjawab, "Berjanjilah bahawa apabila Engkau menjadi raja, kedua-dua orang anakku itu akan duduk dalam kerajaan-Mu di kiri dan kanan-Mu."
[22] Yesus berkata kepada kedua-dua anak lelaki ibu itu, "Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan yang akan Kuminum?" "Sanggup," jawab mereka.
[23] Yesus berkata kepada mereka, "Memang kamu akan minum dari cawan-Ku. Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku, bukanlah Aku memberikannya, tetapi tempat itu milik mereka yang telah disediakan oleh Bapa-Ku."
[24] Apabila sepuluh murid Yesus yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada dua orang saudara itu.
[25] Oleh itu, Yesus memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, "Kamu tahu bahawa pemerintah bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka.
[26] Ini tidak harus berlaku dalam kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu.
[27] Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama dalam kalanganmu, haruslah menjadi hambamu.
[28] Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang."
[29] Yesus meninggalkan Yerikho bersama murid-murid-Nya. Ramai orang mengikut mereka.
[30] Dua orang buta yang duduk di tepi jalan mendengar bahawa Yesus lalu di situ lalu berseru, "Wahai Tuhan, Anak Daud, kasihanilah kami!"
[31] Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi mereka semakin kuat berseru, "Wahai Tuhan, Anak Daud, kasihanilah kami!"
[32] Yesus berhenti lalu memanggil mereka dan bertanya, "Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?"
[33] Jawab mereka, "Tuhan, kami ingin melihat!"
[34] Yesus berbelas kasihan kepada mereka. Dia menyentuh mata mereka, dan serta-merta mereka dapat melihat, lalu mereka pun mengikut-Nya.