[1] "Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi.
[2] Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu.
[3] Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari?
[4] Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, 'Biarlah aku keluarkan selumbar daripada mata saudara,' sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri?
[5] Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu.
[6] Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu."
[7] "Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.
[8] Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.
[9] Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti?
[10] Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan?
[11] Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya.
[12] Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi."
[13] "Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan menuju kebinasaan itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya.
[14] Sebaliknya, pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya."
[15] "Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas.
[16] Kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri?
[17] Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik.
[18] Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik.
[19] Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar.
[20] Demikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka."
[21] "Tidak semua orang yang memanggil-Ku, 'Tuhan, Tuhan,' akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.
[22] Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, 'Tuhan, Tuhan, bukankah kami telah bernubuat dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?'
[23] Tetapi Aku akan menjawab, 'Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang mungkar.' "
[24] "Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu.
[25] Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu.
[26] Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir.
[27] Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!"
[28] Setelah selesai Yesus menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum dengan ajaran-Nya
[29] kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.