Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:46

[1] Pada masa itu Yohanes Pembaptis menyampaikan berita ini di gurun di Yudea.

[2] Dia berseru, "Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!"

[3] Yohaneslah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yesaya: "Suara seorang berseru di gurun: 'Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan untuk-Nya.' "

[4] Pakaian Yohanes diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun.

[5] Orang dari Yerusalem, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan datang mendapatkan Yohanes.

[6] Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan.

[7] Ramai orang Farisi dan Saduki datang untuk dibaptiskan. Apabila melihat mereka, Yohanes berkata, "Hai, kamu bagaikan ular kapak berbisa! Siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada kemurkaan Allah kelak?

[8] Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat.

[9] Jangan sangka kamu dapat berkata sesama sendiri, 'Abraham bapa moyang kita.' Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Abraham!

[10] Kapak sudah terletak pada akar umbi pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api.

[11] Aku membaptismu dengan air untuk menunjukkan bahawa kamu telah bertaubat. Tetapi Dia yang datang selepasku akan membaptismu dengan Roh Kudus dan api; Dia lebih berkuasa daripadaku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak.

[12] Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan membersihkan tempat pembantingan dan mengumpulkan gandum di dalam jelapang-Nya tetapi sekam akan dibakar-Nya di dalam api yang tidak dapat dipadamkan."

[13] Ketika itu, Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan untuk dibaptiskan oleh Yohanes.

[14] Akan tetapi, Yohanes cuba menolak dengan berkata, "Sepatutnya Engkau yang membaptisku. Ini Engkau pula datang kepadaku!"

[15] Tetapi Yesus menjawab, "Biarkanlah demikian untuk sekarang, kerana dengannya kita akan menunaikan segala perbenaran." Yohanes pun patuh.

[16] Setelah dibaptiskan, Yesus keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan Dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya.

[17] Kemudian kedengaran suara dari syurga, "Inilah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan."

Matius — Chapters