[1] Inilah permulaan Injil tentang Yesus Kristus, Anak Allah,
[2] Seperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yesaya: "Ketahuilah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu,
[3] satu suara berseru di gurun: 'Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan untuk-Nya.' "
[4] Demikianlah Yohanes muncul di gurun, membaptis orang dan mengkhabarkan satu baptisan pertaubatan untuk pengampunan dosa.
[5] Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Yerusalem untuk mendengar kata-kata Yohanes. Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan.
[6] Yohanes memakai pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Dia makan belalang dan madu gurun.
[7] Inilah beritanya: "Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai.
[8] Aku membaptismu dengan air, tetapi Dia akan membaptismu dengan Roh Kudus."
[9] Kemudian Yesus datang dari Nazaret di Galilea, lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan.
[10] Ketika Yesus keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Kudus seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya.
[11] Lalu kedengaran suara dari syurga: "Engkaulah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan."
[12] Lantas, Roh memimpin Yesus ke gurun.
[13] Yesus di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya.
[14] Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah.
[15] Yesus berkata, "Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!"
[16] Ketika Yesus sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak Simon dan saudaranya Andreas, sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan.
[17] Yesus berkata kepada mereka, "Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan."
[18] Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.
[19] Sejurus berjalan, Yesus melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yohanes, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu.
[20] Yesus terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka, Zebedeus, dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.
[21] Yesus dan murid-murid-Nya tiba di Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Yesus masuk ke saumaah lalu mengajar.
[22] Mereka kagum dengan ajaran-Nya kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.
[23] Ketika itu seorang yang dirasuk roh jahat berada di saumaah. Dia berseru:
[24] "Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!"
[25] Yesus membentak roh itu, "Diam! Keluar daripada dia!"
[26] Roh jahat itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit.
[27] Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, "Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh jahat dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya."
[28] Dengan demikian, khabar tentang Yesus segera tersebar ke seluruh Galilea.
[29] Yesus dan murid-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, keluar dari saumaah itu lalu ke rumah Simon dan Andreas.
[30] Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Yesus di situ, Dia diberitahu tentang hal itu.
[31] Yesus menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayan mereka.
[32] Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus.
[33] Semua penduduk kota berhimpun di hadapan pintu itu.
[34] Yesus menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia.
[35] Keesokannya, pada waktu subuh, Yesus bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa.
[36] Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Yesus.
[37] Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: "Semua orang sedang mencari-Mu!"
[38] Yesus berkata, "Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Sebab untuk itulah, maka Aku datang."
[39] Lalu Yesus menjelajah ke serata Galilea dan berkhutbah di saumaah dan menghalau roh-roh iblis.
[40] Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Yesus lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, "Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku."
[41] Yesus berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, 'Aku mahu. Tahirlah!"
[42] Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta.
[43] Yesus segera menyuruhnya pergi dengan memberikan suatu peringatan keras:
[44] "Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan."
[45] Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Yesus tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.