[1] Setelah tamat hari Sabat, Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus, dan Salome membeli ramuan rempah untuk melumuri jenazah Yesus.
[2] Pada awal pagi hari pertama minggu itu, mereka sampai di makam itu ketika matahari terbit.
[3] Mereka berkata-kata sesama sendiri, "Siapa yang akan menggulingkan batu daripada pintu makam untuk kita?"
[4] Apabila mereka memandang makam itu, mereka mendapati batu yang sangat besar itu telah pun digulingkan.
[5] Mereka masuk ke dalam makam itu dan melihat seorang pemuda berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan; mereka sungguh terkejut dan ketakutan.
[6] Tetapi dia berkata kepada mereka, "Jangan takut. Kamu mencari Yesus orang Nazaret, yang telah disalib. Dia telah bangkit semula! Dia tidak ada di sini. Lihatlah tempat mereka baringkan jenazah-Nya.
[7] Tetapi, pergilah, beritahu murid-murid-Nya, termasuk Petrus, bahawa Dia mendahuluimu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya, seperti yang telah dikatakan-Nya kepada kamu."
[8] Mereka pun segera keluar dan berlari meninggalkan makam itu, kerana mereka gementar dan kehairanan. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa, kerana mereka takut.
[9] Setelah Yesus bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maria Magdalena yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu.
[10] Maria pun pergi memberitahu murid-murid-Nya yang sedang berkabung dan menangis.
[11] Ketika mendengar bahawa Yesus hidup dan telah dilihat oleh Maria, mereka tidak percaya.
[12] Selepas itu, Dia menampakkan diri dengan cara lain kepada dua orang daripada mereka ketika mereka sedang berjalan ke desa.
[13] Kedua-dua orang murid Yesus itu segera pergi memberitahu yang lain, tetapi mereka juga tidak percaya.
[14] Kemudian Dia menampakkan diri kepada kesemua murid-Nya yang sebelas itu ketika mereka sedang makan. Dia menegur sikap mereka yang tidak percaya dan keras hati, kerana mereka tidak mempercayai orang yang telah melihat-Nya setelah Dia bangkit semula.
[15] Dia berkata kepada mereka, "Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan.
[16] Sesiapa yang percaya dan dibaptiskan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum.
[17] Tanda-tanda ini akan menyertai mereka yang percaya: Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis, dan mereka akan bertutur dalam bahasa-bahasa baru.
[18] Mereka akan memegang ular tanpa mudarat. Kiranya mereka terminum racun, mereka tetap selamat. Mereka akan meletakkan tangan pada orang sakit dan orang itu akan sembuh."
[19] Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia disambut naik ke syurga lalu duduk di kanan Allah.
[20] Para murid-Nya pergi menyampaikan perkhabaran Injil di serata dunia. Tuhan bekerja bersama mereka, mengesahkan firman dengan iringan tanda-tanda ajaib.