[1] Yesus beredar dari situ lalu pulang bersama murid-murid-Nya ke kampung halaman-Nya.
[2] Pada hari Sabat Dia mula mengajar di saumaah. Ramai di situ hairan mendengar ajaran Yesus. "Dari manakah Dia memperoleh semua ini?" tanya mereka. "Apakah kebijaksanaan yang ada pada-Nya? Bagaimanakah Dia dapat melakukan mukjizat?
[3] Bukankah Dia ini tukang kayu, anak kepada Maria, saudara kepada Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya tinggal di sini?" Oleh itu, mereka enggan menerima-Nya.
[4] Yesus berkata kepada mereka, "Seorang nabi dihormati di mana-mana kecuali di kampung halamannya, antara sanak saudaranya dan dalam keluarganya sendiri."
[5] Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka.
[6] Dia sungguh hairan bahawa mereka tidak percaya. Selepas itu, Yesus pergi ke kampung-kampung di sekitar itu dan mengajar.
[7] Dia memanggil murid-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh jahat.
[8] Perintah-Nya kepada mereka demikian: "Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat – roti pun jangan, beg pun jangan, wang dalam tali pinggang pun jangan.
[9] Pakailah capal, tetapi jangan pakai dua helai baju."
[10] Yesus berkata lagi, "Apabila kamu disambut di sesebuah rumah, menetaplah di situ hingga kamu beredar dari bandar itu.
[11] Sebaliknya, jika penduduk sesuatu bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, pergilah dari situ dan kebaskanlah debu daripada tapak kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka."
[12] Murid Yesus yang dua belas itu pun pergi menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat.
[13] Mereka menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka.
[14] Raja Herodes mendengar tentang kejadian itu, kerana nama Yesus sudah terkenal di mana-mana. Ada orang berkata, "Yohanes Pembaptis telah dibangkitkan daripada kematian! Itulah sebab Dia mempunyai kuasa melakukan mukjizat."
[15] Yang lain berkata, "Dia ini Elia." Ada pula yang berkata, "Dia ini nabi, seperti nabi zaman dahulu."
[16] Ketika mendengar hal demikian, Herodes berkata, "Dia itu Yohanes yang kepalanya telah kupancung, tetapi dia hidup semula!"
[17] Sebabnya memang Herodes telah memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, diikat dan dipenjarakan. Herodes berbuat demikian kerana Herodias, isteri kepada saudaranya Filipus, yang telah dikahwininya.
[18] Yohanes pernah menegur perbuatan Herodes itu, "Mengambil isteri saudaramu sebagai isterimu adalah haram."
[19] Akibatnya Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan hendak membunuhnya, tetapi hasratnya terhalang,
[20] kerana Herodes takut akan Yohanes. Herodes tahu Yohanes seorang yang benar dan suci, oleh itu dia melindungi Yohanes. Herodes juga suka mendengar kata-kata Yohanes, meskipun kata-kata itu membuatnya sangat gelisah.
[21] Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea.
[22] Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu, raja berkata kepada gadis itu, "Mintalah daripadaku apa sahaja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu."
[23] Dia menyambung dengan sumpah, "Apa sahaja yang kamu minta akan kuberikan kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun."
[24] Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, "Apakah yang patut kuminta?" Jawabnya, "Kepala Yohanes Pembaptis."
[25] Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, "Aku mahu kamu berikan kepadaku kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga."
[26] Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia tidak mahu menolak permintaannya.
[27] Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawa kepala Yohanes. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes.
[28] Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya.
[29] Apabila murid-murid Yohanes mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yohanes lalu mengebumikannya di dalam kubur.
[30] Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Yesus dan melaporkan segala yang telah dilakukan serta diajarkan mereka.
[31] Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Yesus dan murid-murid-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, "Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar."
[32] Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi.
[33] Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Yesus dan murid-murid-Nya.
[34] Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka kerana mereka ibarat domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajar banyak perkara kepada mereka.
[35] Ketika hari sudah petang, para murid Yesus datang kepada-Nya dan berkata, "Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil.
[36] Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan."
[37] Tetapi Yesus menjawab, "Kamu berilah mereka makan." Para murid-Nya bertanya, "Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus keping wang dinar untuk memberi mereka makan?"
[38] Yesus bertanya, "Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu." Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, "Lima buku roti dan dua ekor ikan."
[39] Yesus mengarahkan mereka supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di atas rumput.
[40] Mereka pun duduk dalam kelompok; ada yang seratus orang sekelompok dan ada yang lima puluh orang.
[41] Setelah Yesus mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua.
[42] Mereka semuanya makan sehingga kenyang.
[43] Para murid-Nya mengumpulkan lebihan makanan dan ikan sebanyak dua belas bakul.
[44] Jumlah orang lelaki yang makan itu kira-kira lima ribu orang.
[45] Yesus segera mengarahkan murid-murid-Nya pergi dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang laut sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang.
[46] Setelah mereka pergi, Yesus naik ke bukit untuk berdoa.
[47] Apabila hari sudah malam, perahu para murid Yesus sudah sampai ke tengah laut sedangkan Yesus seorang diri di darat.
[48] Yesus melihat murid-murid-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah bertentangan. Kira-kira antara dinihari dan subuh, Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka. Dia hendak mendahului mereka.
[49] Tetapi ketika mereka terpandang Dia berjalan di atas air, mereka menyangka-Nya hantu lalu mereka berteriak-teriak.
[50] Mereka ketakutan melihat Yesus. Tetapi Dia segera berkata kepada mereka, "Tabahkanlah hatimu! Aku Yesus. Jangan takut."
[51] Dia naik ke perahu mereka, lalu angin pun teduh. Para murid-Nya hairan tercengang.
[52] Mereka masih belum mengerti apa sebenar yang berlaku dengan roti itu, kerana hati mereka masih keras.
[53] Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu.
[54] Sebaik-baik mereka turun dari perahu, orang mengenal Yesus
[55] lalu berlari ke serata kawasan dan membawa orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya di mana-mana sahaja Dia berada.
[56] Di setiap tempat yang dikunjungi-Nya – baik di kota, di pekan mahupun di kampung – penduduk di situ membawa orang yang sakit ke pasar. Mereka memohon agar sekurang-kurangnya Yesus membenarkan mereka menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.