Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:44

[1] Yesus mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai.

[2] Yesus mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata:

[3] "Dengarlah! Seorang penyemai pergi menabur benih.

[4] Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu dimakan burung.

[5] Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam.

[6] Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar.

[7] Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah.

[8] Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda."

[9] Lalu kata-Nya, "Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!"

[10] Ketika Yesus bersendirian, dua belas murid-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu.

[11] Yesus berkata kepada mereka, "Kamu telah diberi rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengar segala sesuatu melalui ibarat,

[12] supaya: 'Mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti; kerana sekiranya mereka mengerti, mereka akan berpaling dan diampuni!' "

[13] Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, "Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain?

[14] Penyemai itu menabur firman.

[15] Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur dalam hati mereka.

[16] Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita,

[17] tetapi mereka tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik mereka menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, iman mereka pun segera luntur.

[18] Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu,

[19] tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.

[20] Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur mendengar dan menerima firman itu lalu menghasilkan tiga puluh, enam puluh bahkan seratus kali ganda."

[21] Yesus berkata pula, "Pernahkah orang memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita.

[22] Yang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan.

[23] Jika kamu bertelinga, dengarlah."

[24] Selepas itu Yesus berkata, "Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi.

[25] Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya."

[26] Yesus berkata seterusnya, "Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya.

[27] Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi.

[28] Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah – mula-mula pucuk, kemudian bulir, akhirnya buah.

[29] Setelah masak, buahnya disabit oleh orang itu dengan segera kerana musim menuai telah tiba."

[30] "Dengan apakah dapat kita bandingkan kerajaan Allah?" kata Yesus lagi. "Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya?

[31] Kerajaan Allah itu seperti sebutir biji sesawi paling kecil di dunia yang ditabur di tanah.

[32] Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung di udara membuat sarang di bawah keteduhannya."

[33] Dengan banyak ibarat yang semacam itu Yesus mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham.

[34] Dia tidak berucap kepada mereka tanpa menggunakan ibarat. Tetapi apabila Dia bersendiri dengan murid-murid-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya.

[35] Pada petang itu juga, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, "Marilah kita pergi ke seberang sana."

[36] Ketika itu Yesus di dalam perahu. Para murid-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama.

[37] Lalu angin ribut bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air.

[38] Ketika itu Yesus sedang tidur di buritan perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para murid-Nya membangunkan Dia lalu berkata, "Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!"

[39] Yesus bangun lalu menegur angin dan berkata kepada ombak, "Diam! Tenanglah!" Angin pun reda dan laut menjadi tenang.

[40] Kemudian Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, "Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?"

[41] Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, "Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya!"

Markus — Chapters