[1] Ketika manusia mula menjadi semakin ramai di muka bumi, dan mereka melahirkan anak-anak perempuan,
[2] anak-anak Allah melihat betapa elok paras rupa anak perempuan manusia itu. Lalu mereka memperisteri sesiapa sahaja perempuan yang dipilih mereka.
[3] Maka Tuhan berfirman, "Roh-Ku tidak selama-lamanya akan menyertai manusia yang fana fitrahnya. Umur mereka akan cuma 120 tahun sahaja."
[4] Orang Nefilim juga menghuni bumi pada zaman itu, dan juga pada zaman sesudahnya, iaitu ketika anak-anak Allah meniduri anak perempuan manusia yang seterusnya melahirkan anak untuk para manusia itu. Golongan manusia itulah para wira gagah perkasa pada zaman purba yang termasyhur nama mereka.
[5] Namun begitu, Tuhan melihat kejahatan manusia besar di bumi, dan segala hasrat dan kecenderungan hati mereka sentiasa tertumpu pada kejahatan sahaja.
[6] Maka menyesallah Tuhan kerana Dia telah menjadikan manusia di bumi dan hal itu mendukakan hati-Nya.
[7] Berfirmanlah Tuhan, "Aku akan menghapuskan manusia yang telah Kuciptakan itu dari muka bumi – manusia dan juga haiwan, termasuk haiwan yang melata, dan burung-burung di udara – kerana hati-Ku kesal bahawa Aku telah menjadikan kesemuanya."
[8] Tetapi Nuh mendapat rahmat di mata Tuhan.
[9] Inilah riwayat Nuh. Dalam kalangan yang sezaman dengannya, Nuh seorang yang benar dan tidak tercela. Dia hidup akrab dengan Allah.
[10] Nuh dikurniai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Ham, dan Yafet.
[11] Pada ketika itu, bumi sudah hancur di hadapan Allah dan penuh dengan keganasan.
[12] Allah mengamati bumi, dan sesungguhnya betapa hancurnya bumi kerana kehidupan semua manusia bergelumang dengan dosa.
[13] Maka berfirmanlah Allah kepada Nuh, "Aku telah menetapkan bahawa kesemua makhluk yang hidup mesti mati kerana bumi ini penuh dengan keganasan akibat perbuatan mereka. Sesungguhnya, Aku akan memusnahkan mereka bersama-sama bumi ini.
[14] Maka kamu perlu membuat sebuah bahtera daripada kayu sipres. Buatlah bilik-bilik di dalam bahtera itu yang mesti dilapisi dengan gegala di bahagian luar dan dalamnya.
[15] Kamu mesti membuat bahtera itu mengikut ukuran ini: Panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta, dan tingginya 30 hasta.
[16] Buatlah lubang cahaya bagi bahtera itu dan semua binaan mesti ada ruang sehasta dari bahagian tertinggi bahtera. Pasang pintu bahtera pada rusuknya. Buatlah bahtera itu bertingkat bawah, tengah, dan atas.
[17] Ketahuilah, Aku akan mendatangkan banjir untuk melanda bumi demi memusnahkan semua makhluk yang bernyawa di bawah langit dan semua hidupan di bumi akan mati.
[18] Akan tetapi, Aku mengikat perjanjian-Ku dengan kamu. Kamu berserta anak-anakmu, isterimu, dan isteri anak-anakmu akan masuk ke dalam bahtera itu.
[19] Sepasang iaitu jantan dan betina daripada segala makhluk yang hidup mesti kamu bawa masuk ke dalam bahtera, supaya kesemuanya dapat tetap hidup bersama-samamu.
[20] Sepasang daripada berbagai-bagai jenis burung, berbagai-bagai jenis haiwan, dan segala jenis binatang melata di bumi akan datang kepadamu supaya kesemuanya dapat tetap hidup.
[21] Kamu juga mesti mengumpulkan segala bahan yang dapat dimakan dan menyimpannya. Itulah yang akan menjadi makanan bagimu dan bagi kesemua makhluk itu."
[22] Maka sebagaimana yang diperintahkan Allah kepadanya, sebegitulah yang dilakukan oleh Nuh.