[1] Maka berangkatlah Israel dengan membawa segala harta bendanya. Setibanya di Bersyeba, dia mempersembahkan korban sembelihan kepada Allah Ishak ayahnya.
[2] Lalu Allah berfirman kepada Israel dalam penglihatan pada malam hari, "Yakub, Yakub." Jawabnya, "Ya, aku ada di sini."
[3] Firman-Nya, "Akulah Allah, Allah ayahmu. Jangan takut untuk pergi ke Mesir, kerana Aku akan menjadikan kamu sebuah bangsa yang besar di sana.
[4] Aku akan menyertai kamu ke Mesir, dan Aku juga akan pasti membawa kamu kembali. Tangan Yusuflah yang akan menutupkan kelopak matamu."
[5] Kemudian berangkatlah Yakub dari Bersyeba, dan anak-anak Israel membawa Yakub, ayah mereka, juga anak dan isteri masing-masing dengan gerabak yang dikirimkan oleh Firaun untuk menjemput mereka.
[6] Selain itu, mereka juga membawa ternakan dan harta benda yang diperoleh mereka di Tanah Kanaan. Lalu tibalah Yakub di Mesir bersama-sama seluruh keturunannya,
[7] iaitu kesemua anak cucunya, baik lelaki mahupun perempuan. Seluruh keturunannya dibawanya serta ke Mesir.
[8] Inilah nama bani Israel yang datang ke Mesir, iaitu Yakub dan keturunannya. Anak Yakub yang sulung, Ruben.
[9] Para anak Ruben ialah Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi.
[10] Para anak Simeon ialah Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan Saul, anak seorang perempuan Kanaan.
[11] Para anak Lewi ialah Gerson, Kehat, dan Merari.
[12] Para anak Yehuda ialah Er, Onan, Syela, Peres, dan Zerah. Tetapi Er dan Onan sudah mati di Tanah Kanaan. Para anak Peres ialah Hezron dan Hamul.
[13] Para anak Isakhar ialah Tola, Pua, Ayub, dan Simron.
[14] Para anak Zebulon ialah Sered, Elon, dan Yahleel.
[15] Mereka ini ialah keturunan Lea, yang melahirkan anak untuk Yakub di Padan-Aram, di samping Dina, anak perempuannya. Jadi, seluruh keturunan Yakub daripada Lea, sama ada lelaki atau perempuan, berjumlah tiga puluh tiga orang.
[16] Para anak Gad ialah Zifyon, Hagi, Syuni, Ezbon, Eri, Arodi, dan Areli.
[17] Para anak Asyer ialah Yimna, Yiswa, Yiswi, Beria, serta Serah, saudara perempuan mereka. Para anak Beria ialah Heber dan Malkiel.
[18] Mereka ini ialah keturunan Zilpa, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Lea, anaknya. Jadi, seluruh keturunan Yakub yang berasal daripada Zilpa itu berjumlah enam belas orang.
[19] Para anak Rahel, isteri Yakub ialah Yusuf dan Benyamin.
[20] Manakala para anak Yusuf ialah Manasye dan Efraim, yang dilahirkan di Mesir oleh Asnat anak Potifera, imam di On.
[21] Para anak Benyamin ialah Bela, Bekher, Asybel, Gera, Naaman, Ehi, Ros, Mupim, Hupim, dan Ared.
[22] Mereka ini ialah keturunan Yakub daripada Rahel yang berjumlah empat belas orang.
[23] Anak Dan ialah Husim
[24] Para anak Naftali ialah Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem.
[25] Mereka itu ialah keturunan Bilha, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Rahel, anaknya. Jadi, seluruh keturunan Yakub yang berasal daripada Bilha berjumlah tujuh orang.
[26] Jumlah orang yang datang ke Mesir bersama-sama Yakub, iaitu keturunannya, belum termasuk isteri masing-masing, ialah enam puluh enam orang.
[27] Jika diambil kira dua orang anak Yusuf yang dilahirkan untuknya di Mesir maka seluruh keluarga Yakub yang ada di Mesir pada masa itu berjumlah tujuh puluh orang.
[28] Yakub menyuruh Yehuda untuk mendahuluinya bagi menemui Yusuf dan menunjukkan arah menuju Gosyen. Setelah mereka sampai di Tanah Gosyen,
[29] Yusuf menyediakan ratanya lalu pergi untuk menemui Israel, ayahnya, di Gosyen. Sebaik sahaja bertemu, Yusuf memeluk leher ayahnya dan menangis lama di bahunya.
[30] Kata Israel kepada Yusuf, "Sekarang biarlah aku mati, kerana aku telah melihat wajahmu dan tahu bahawa kamu masih hidup."
[31] Lalu Yusuf berkata kepada para saudaranya dan kepada keluarga ayahnya, "Aku akan pergi memberitahu Firaun, 'Saudara-saudara hamba dan keluarga ayah hamba, yang tinggal di Tanah Kanaan, sudah datang kepada hamba.
[32] Mereka itu gembala dan memang biasa memelihara kawanan ternakan dan mereka membawa bersama-sama mereka kesemua kawanan domba, lembu, dan kesemua harta benda mereka.'
[33] Jadi, apabila Firaun memanggil kamu dan bertanya, 'Apakah pekerjaanmu?'
[34] Jawablah, 'Sejak kecil bahkan sampai sekarang hamba-hambamu ini memelihara ternakan, sebagaimana juga para nenek moyang kami.' Dengan demikian, kamu dapat tinggal di Tanah Gosyen kerana warga Mesir memandang keji terhadap semua gembala ternakan."