Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:58

[1] Pada zaman itu Amrafel raja Sinear, Ariokh raja Elasar, Kedorlaomer raja Elam, dan Tideal raja Goyim

[2] berperang melawan Bera raja Sodom, Birsya raja Gomora, Syinab raja Adma, Syemeber raja Zeboim, dan raja Bela, iaitu Zoar.

[3] Lima orang raja yang terakhir disebut itu bersekutu di Lembah Sidim, iaitu Laut Mati.

[4] Selama dua belas tahun lamanya raja-raja itu tertakluk di bawah pemerintahan Kedorlaomer, tetapi pada tahun ketiga belas, mereka memberontak.

[5] Pada tahun keempat belas datanglah Kedorlaomer bersama-sama para raja yang bersekutu dengannya, lalu mereka mengalahkan orang Refaim di Asyterot-Karnaim, orang Zuzim di Ham, orang Emim di Syawe-Kiryataim,

[6] dan orang Hori di pergunungan mereka yang bernama Seir, sampai ke El-Paran berdekatan dengan gurun.

[7] Kemudian mereka kembali menyerang En-Mispat, iaitu Kadesh, dan menakluki seluruh negeri orang Amalek dan juga orang Amori yang tinggal di Hazezon-Tamar.

[8] Maka keluarlah raja Sodom, raja Gomora, raja Adma, raja Zeboim, dan raja Bela, iaitu Zoar. Mereka mengatur barisan perang mereka di Lembah Sidim

[9] untuk melawan Kedorlaomer raja Elam, Tideal raja Goyim, Amrafel raja Sinear, dan Ariokh raja Elasar. Empat orang raja melawan lima orang raja.

[10] Lembah Sidim penuh dengan lubang tar dan ketika raja-raja Sodom dan Gomora melarikan diri ke Lembah Sidim, ada beberapa daripada mereka yang terperosok ke dalam lubang-lubang tar itu manakala yang masih hidup melarikan diri ke pergunungan.

[11] Empat orang raja yang menang merampas segala harta benda Sodom dan Gomora serta segala bahan makanan mereka lalu pergi.

[12] Mereka juga membawa Lut, anak saudara Abram, dengan harta bendanya kerana ia tinggal di Sodom. Setelah itu, mereka pergi.

[13] Lalu seorang yang berjaya melarikan diri pergi menemui Abram, orang Ibrani itu dan memberitahukan hal itu kepadanya. Pada masa itu Abram tinggal berdekatan dengan pokok-pokok oak milik Mamre, seorang warga Amori, saudara kepada Eskol dan Aner. Mereka ini ialah sekutu Abram.

[14] Ketika Abram mendengar bahawa anak saudaranya telah ditawan, dia mengerahkan 318 orang terlatih yang lahir di rumahnya. Lalu mereka mengejar gerombolan berkenaan sampai ke Dan.

[15] Abram membahagikan pasukannya untuk menyerang musuh pada waktu malam. Mereka mengalahkan musuh dan mengejar mereka sampai ke Hoba, di sebelah utara Damsyik.

[16] Segala harta benda dibawanya kembali, juga Lut, saudaranya, dengan harta bendanya, serta perempuan-perempuan dan orang lain.

[17] Setelah Abram kembali daripada mengalahkan Kedorlaomer serta para raja yang menjadi sekutunya, raja Sodom keluar untuk menemui Abram di Lembah Syawe, yang dikenali sebagai Lembah Raja.

[18] Kemudian Melkisedek, raja Salem yang merupakan seorang imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan anggur.

[19] Dia memohon agar Abram diberkati, katanya, "Diberkatilah Abram oleh Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi.

[20] Segala puji bagi Allah Yang Maha Tinggi, yang telah menyerahkan musuh-musuhmu ke dalam tanganmu." Lalu Abram memberinya sepersepuluh daripada segala harta benda itu.

[21] Berkatalah raja Sodom kepada Abram, "Berilah aku orang itu, dan ambillah harta benda itu untukmu."

[22] Tetapi Abram menjawab raja Sodom, "Aku telah bersumpah kepada Tuhan, iaitu Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi,

[23] bahawa aku tidak akan mengambil selembar benang atau tali kasut pun daripada semua yang ada padamu supaya jangan kamu berkata, 'Aku telah membuat Abram kaya.'

[24] Aku tidak akan mengambil apa-apa pun kecuali pampasan bagi apa yang dimakan atau digunakan oleh orang muda yang menyertai aku, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre. Biarlah mereka mengambil bahagian masing-masing."

Kejadian — Chapters