Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:19

[1] Sesudah berbagai-bagai peristiwa itu, datanglah firman Tuhan kepada Abram dalam suatu penglihatan demikian, "Jangan takut, Abram, Akulah perisaimu. Pahalamu akan sangat besar."

[2] Jawab Abram, "Ya Tuhan Allah, apakah yang hendak Engkau kurniakan kepadaku? Sampai sekarang aku tidak mempunyai anak, dan yang akan mewarisi rumahku ialah Eliezer, orang Damsyik itu."

[3] Kata Abram pula, "Sesungguhnya, Engkau belum mengurniakan kepadaku keturunan, sehingga hamba yang lahir di rumahkulah yang akan menjadi ahli warisku."

[4] Tetapi datanglah firman Tuhan kepadanya demikian, "Bukan orang itu yang akan menjadi ahli warismu, melainkan anak lelaki darah dagingmu sendirilah yang akan menjadi ahli warismu."

[5] Kemudian Dia membawa Abram keluar dan berfirman, "Menengadahlah ke langit dan hitunglah bintang jika kamu dapat menghitungnya." Firman-Nya kepadanya, "Demikianlah banyaknya keturunanmu kelak."

[6] Lalu Abram percaya kepada Tuhan dan Tuhan memperhitungkan hal itu baginya sebagai perbenaran.

[7] Seterusnya Dia berfirman lagi kepadanya, "Akulah Tuhan, yang membawa kamu keluar dari Ur-Kasdim untuk memberikan negeri ini kepadamu dan menjadikannya milikmu."

[8] Kata Abram, "Ya Tuhan Allah, bagaimanakah akan kutahu bahawa aku akan memilikinya?"

[9] Firman Tuhan kepadanya, "Ambillah bagi-Ku seekor lembu betina muda, seekor kambing betina, dan seekor domba jantan, masing-masing berumur tiga tahun, juga seekor burung tekukur dan seekor anak burung merpati."

[10] Abram mengambil semua itu bagi-Nya, membelahnya menjadi dua, lalu meletakkan belahan yang satu berhadapan dengan yang lain. Tetapi burung-burung tidak dibelah dua.

[11] Ketika burung-burung pemangsa hinggap di atas daging sembelihan itu, Abram pun menghalaunya.

[12] Menjelang matahari terbenam, Abram tertidur lelap. Tiba-tiba, dia diselubungi oleh kegelapan yang dahsyat dan ketakutan mencengkam dirinya.

[13] Kemudian Tuhan berfirman kepada Abram, "Ketahuilah sesuatu yang pasti bahawa keturunanmu akan menjadi pendatang di negeri orang dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun.

[14] Akan tetapi, Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka, dan setelah itu mereka akan keluar dari negeri itu dengan membawa harta benda yang banyak.

[15] Akan tetapi, kamu pula akan pergi kepada nenek moyangmu dengan sejahtera. Kamu akan dimakamkan pada usia yang sangat tua.

[16] Keturunan yang keempat akan kembali ke sini, kerana kejahatan orang Amori belum mencapai tahap puncaknya."

[17] Setelah matahari terbenam dan hari menjadi gelap, tiba-tiba tampaklah sebuah pendiangan yang berasap dan obor yang menyala-nyala bergerak-gerak di antara potongan-potongan daging itu.

[18] Pada hari itu juga Tuhan membuat perjanjian dengan Abram, firman-Nya, "Kepada keturunanmu Kuberikan negeri ini, dari Wadi Mesir sampai sungai besar, iaitu Sungai Efrat,

[19] meliputi tanah orang Keni, orang Kenas, orang Kadmon,

[20] orang Het, orang Feris, orang Refaim,

[21] orang Amori, orang Kanaan, orang Girgasi, dan orang Yebus."

Kejadian — Chapters