Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:35

[1] Aku dimaklumkan bahawa dalam kalanganmu ada perbuatan cabul yang tidak pernah dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Tuhan pun: Seorang lelaki berzina dengan isteri ayahnya.

[2] Namun begitu, kamu masih bermegah. Sewajarnya kamu bersedih dan bertindak menyingkirkan orang yang melakukan perbuatan itu.

[3] Walaupun pada lahirnya aku jauh daripadamu, namun pada batinnya aku bersamamu. Aku pun sudah menjatuhkan hukuman atas orang yang melakukan perbuatan itu seolah-olah aku berada di tengah-tengah kamu.

[4] Apabila kamu berhimpun demi nama Tuhan kita Yesus, sifatkanlah aku ada dalam kalanganmu pada batinnya dan dengan kuasa Tuhan kita Yesus,

[5] serahkanlah orang itu kepada Iblis supaya tubuhnya dimusnahkan tetapi rohnya dapatlah diselamatkan pada hari Tuhan datang kembali.

[6] Kamu tidak harus bermegah. Tentu kamu mengenal pepatah ini: "Sedikit ragi mencemari seluruh adunan."

[7] Buanglah ragi lama supaya kamu menjadi adunan baru tanpa ragi. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya begitu. Kerana Kristus, domba Paskah kita telah dikorbankan.

[8] Marilah kita sambut Perayaan Paskah bukan dengan ragi yang lama, iaitu ragi kejahatan dan kezaliman, melainkan dengan roti yang tidak beragi, iaitu ketulusan hati dan keikhlasan.

[9] Dalam suratku yang lalu, aku telah menyerumu supaya menjauhkan diri daripada orang yang cabul.

[10] Orang cabul yang kumaksudkan bukanlah yang tidak mengenal Allah maka berkelakuan cabul, tamak, menipu dan menyembah berhala. Untuk menjauhkan diri daripada mereka ini, terpaksalah kamu keluar dari dunia ini.

[11] Maksudku ialah kamu tidak harus bergaul dengan orang yang mengaku diri sebagai saudara tetapi pada hakikatnya orang yang cabul, tamak, penyembah berhala, pengumpat, pemabuk atau penipu. Janganlah makan bersama mereka.

[12] Apakah urusanku sehingga aku harus mengadili orang di luar jemaah? Bukankah kamu mengadili orang di dalam jemaah sahaja?

[13] Tetapi bagi yang di luar jemaah, Allah sendiri akan mengadili mereka. Oleh itu, kamu harus singkirkan orang yang durjana daripada kalanganmu.

1 Korintus — Chapters