[1] Teladani aku, sebagaimana aku meneladani Kristus.
[2] Sekarang aku memujimu, saudara-saudaraku, kerana kamu mengingatiku dalam semua hal dan memelihara segala ajaran yang telah kusampaikan kepadamu.
[3] Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa ketua setiap lelaki ialah Kristus, ketua wanita ialah lelaki dan ketua Kristus ialah Allah.
[4] Jika seorang lelaki berdoa atau bernubuat dengan kepala bertudung, dia mengaibkan kepalanya.
[5] Sebaliknya, jika seorang wanita berdoa atau bernubuat dengan kepala tidak bertudung, dia mengaibkan kepalanya, samalah seperti dia membotakkan kepalanya.
[6] Jika seseorang wanita tidak bertudung kepala, baiklah rambutnya dicukur. Jika satu keaiban bagi wanita dicukur atau dibotakkan kepalanya, hendaklah dia bertudung kepala.
[7] Seorang lelaki tidak patut menudung kepalanya, kerana dia mencerminkan dan memuliakan Allah; tetapi wanita adalah kemuliaan lelaki.
[8] Lelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki.
[9] Begitu juga, lelaki tidak dicipta untuk wanita, tetapi wanita dicipta untuk lelaki.
[10] Oleh itu, dan oleh sebab para malaikat, wanita harus memakai satu lambang kewibawaan di atas kepalanya.
[11] Walau bagaimanapun, lelaki dan wanita saling bergantung, di bawah kuasa Tuhan.
[12] Sebagaimana wanita berasal daripada lelaki, maka lelaki pula lahir melalui wanita; segala-galanya daripada Allah.
[13] Timbangkanlah sendiri. Wajarkah seorang wanita berdoa kepada Allah dengan tidak bertudung kepala?
[14] Tidakkah alam tabii sendiri mengajar kamu bahawa jika seorang lelaki menyimpan rambut panjang, itu suatu keaiban baginya?
[15] Tetapi jika seorang wanita mempunyai rambut panjang, itu suatu kemuliaan baginya; kerana rambut dikurniakan kepadanya sebagai penudung.
[16] Namun demikian, jika sesiapa kelihatan ingin membantah, maka jawablah bahawa kita tidak mempunyai adat yang lain, begitu juga semua jemaah Allah.
[17] Dalam memberimu petunjuk-petunjuk yang berikut, aku tidak memujimu kerana apabila kamu berhimpun, bukan kebaikan tetapi keburukan yang timbul.
[18] Pertama sekali, apabila kamu berhimpun sebagai satu jemaah, aku dengar kamu berkelompok-kelompok, dan aku percaya sebahagian yang kudengar.
[19] Sememangnya dalam kalanganmu pasti terbentuk beberapa kelompok, sehingga mereka yang diperkenan Allah menjadi nyata.
[20] Apabila kamu berhimpun di suatu tempat, bukanlah Perjamuan Tuhan yang kamu makan
[21] kerana semua berebut hendak makan dahulu; sehingga ada yang lapar dan ada pula yang mabuk.
[22] Apa! Tidakkah kamu mempunyai rumah untuk makan minum di dalamnya? Atau adakah kamu memandang hina jemaah Allah dan hendak memperkecil orang yang tidak mempunyai apa-apa? Apakah akan kukatakan kepadamu? Akan kupujikah kamu dalam hal ini? Tentunya tidak!
[23] Aku telah menerima daripada Tuhan apa yang telah kusampaikan kepadamu: Bahawa pada malam Dia dikhianati, Tuhan Yesus telah mengambil roti;
[24] dan selepas mengucap syukur, Dia telah memecah-mecahkan roti itu lalu berkata, "Ambil, dan makanlah. Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku."
[25] Demikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan itu sambil berkata, "Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukan ini sebagai peringatan kepada-Ku."
[26] Kerana setiap kali kamu makan roti dan minum dari cawan dengan cara demikian, kamu memberitakan kematian Tuhan hingga kedatangan-Nya.
[27] Jika sesiapa makan roti atau minum dari cawan Tuhan ini secara yang tidak wajar, dia akan menanggung dosa terhadap tubuh dan darah Tuhan.
[28] Hendaklah setiap orang memeriksa dirinya, dan kemudian makan roti itu dan minum dari cawan itu;
[29] kerana jika seseorang memakannya dan meminumnya tanpa mengenal tubuh Tuhan, dia makan dan minum akan penghukuman kepada dirinya.
[30] Oleh sebab itu ada sebilangan besar yang lemah dan yang sakit dalam kalanganmu, malah ada yang meninggal dunia.
[31] Jika kita menghakimi diri sendiri, tidaklah kita dihakimi.
[32] Tetapi apabila kita dihakimi, kita dihukum oleh Tuhan supaya kita insaf, agar kita tidak dibinasakan bersama-sama dunia.
[33] Oleh itu, saudara-saudaraku, apabila kamu berhimpun untuk makan, tunggulah satu sama lain sebelum bermula.
[34] Tetapi jika ada sesiapa yang lapar, makanlah dahulu di rumah, supaya perhimpunanmu tidak mendatangkan hukuman. Hal-hal lain akan kuatur ketika aku datang kelak.