Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:20

[1] Kalaupun aku dapat bertutur dalam semua lidah manusia, malah bahasa malaikat juga, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku hanya seperti gong tembaga yang berbunyi bising atau genta yang berdentang.

[2] Kalaupun aku diberi kurnia untuk bernubuat, dan mengetahui semua rahsia serta ilmu, malah memiliki kekuatan iman yang dapat mengalih gunung-ganang, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak bererti.

[3] Begitu juga, kalaupun aku memberikan segala milikku untuk memberi makan kepada orang miskin, atau menyerahkan tubuhku untuk dibakar, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak berguna.

[4] Kasih itu penyabar dan penyayang. Kasih tidak iri hati, tidak membanggakan diri, dan tidak angkuh.

[5] Kasih tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri, tidak cepat meradang, tidak memperhitungkan kesalahan orang lain.

[6] Kasih tidak gembira dengan kejahatan, tetapi gembira meraikan kebenaran.

[7] Kasih tahan menderita segala-galanya, percaya akan segala-galanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya.

[8] Kasih tidak akan luput. Nubuat-nubuat akan berakhir, bahasa-bahasa akan berhenti, dan ilmu pengetahuan akan lenyap

[9] kerana pengetahuan dan nubuat kita tidak sempurna.

[10] Setelah yang sempurna datang, maka yang tidak sempurna akan disingkirkan.

[11] Pada zaman kanak-kanak, aku bercakap secara kanak-kanak, mengerti secara kanak-kanak. Tetapi setelah aku dewasa, segala sifat kanak-kanak itu kutinggalkan.

[12] Sekarang kita hanya melihat samar-samar melalui cermin, tetapi akan tiba saatnya kita melihat dengan jelas berpandang muka. Demikianlah, sekarang aku hanya mengetahui sebahagian, tetapi akan tiba masanya aku mengetahui sepenuhnya, sebagaimana aku diketahui.

[13] Hanya tiga yang tinggal: iman, harapan dan kasih. Antara ketiga-tiga ini, yang paling utama ialah kasih.

1 Korintus — Chapters